Ford Ranger Tremor - Ranger spesifikasi kilang dengan keupayaan off-road sebenar!

oleh Mohamad Hanif|
Penggunaan nama 'Tremor' oleh Ford pada kenderaan berorientasikan off-road bukanlah satu perkara baharu, memandangkan sebelum ini ia telah pun digunakan pada model versi off-road F-250 dan F-350 Super Duty.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kini, penawaran pakej off-road tersebut diteruskan pada model trak pikap yang lebih kecil, iaitu Ford Ranger Tremor sebagai naik taraf kepada model sedia ada (FX4 Off-road Package).

Disifatkan sebagai Ranger spesifikasi kilang dengan keupayaan off-road yang sebenar, Ranger Tremor hadir dengan kit suspension lift, komponen knucle hadapan baharu, set roda dengan kemasan cat Magnetic bersaiz 17 inci, serta tayar all-terrain Continental General Grabbler A/TX 32 inci.

 


Dengan kelengkapan tersebut, Ranger Tremor kini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 246 mm, atau penambahan sebanyak 20 mm berbanding Ranger SuperCrew 4x4.

Keupayaan off-road juga turut ditambah baik dengan sistem suspensi yang membenarkan jarak pergerakan sehingga 165 mm di hadapan dan 205.7 mm di bahagian belakang.

Antara naiktaraf yang diberikan termasuklah peredam tiub tunggal FOX 2.0, penyerap hentak talaan khas, bash plate hadapan keluli dan skid plate untuk bahagian bawah badan.

Ford juga turut mendatangkan pengunci diff belakang dan dua cangkuk penyelamat pada bahagian belakang.

 


Untuk memudahkan urusan pemanduan, Ford Ranger Tremor dilengkapi dengan empat mod pemanduan yang boleh dipilih menerusi Terrain Mangement System dengan Trail Control.

Malah, sistem kawalan cengkaman juga turut ditala kembali bagi membantu fasa pecutan dan juga cengkaman di atas kerikil.

Sudut-sudut kritikal seperti approach, departure dan breakover juga turut ditambah baik jika dibandingkan dengan Ford Ranger spesifikasi asas.

 


Dari segi luaran, Ranger Tremor menerima beberapa kemasan seperti grafik badan baharu, pemasangan tempat pemijak sisi, dan kemasan gril Magnetic.

Sementara di ruang kabin pula Ranger Tremor didatangkan dengan kemasan suede khas, jahitan baharu, dan elemen warna hitam pada sesetengah bahagian, serta terdapat enam suis bantuan yang digunakan untuk mengawal aksesori seperti cangkuk, lampu dan juga pemampat udara.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Ranger Tremor masih lagi dilengkapi dengan nadi 2.3 liter EcoBoost yang menghasilkan 270 kuasa kuda dan 420 Nm yang memacu keempat-empat roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.

Produksi Ranger Tremor ini hanya akan bermula pada awal tahun 2021.