Ford Ranger Stormtrak 2023 rasmi di Thailand - dari RM163k

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di acara Bangkok International Motor Show, Ford Thailand baharu sahaja melancarkan varian baharu trak pikap Ranger Stormtrak.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sama seperti varian Wildtrak X yang dilancarkan di Australia pada bulan lalu, Ranger Stormtrak ini diposisikan ditengah-tengah antara model Wildtrak serta trak berprestasi tinggi Ranger Raptor.
 

Stormtrak


Untuk pasaran Thailand, Ranger Stormtrak ini dikuasakan oleh nadi 2.0 liter diesel turbo berkembar EcoBlue dengan hamburan kuasa 210 PS @ 3,750 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 1,750 rpm-2,000 rpm.

Sistem transmisi adalah jenis automatik 10 nisbah kelajuan yang dipadankan dengan sistem pacuan empat roda.
 

Stormtrak


Naiktaraf kepada varian Ranger Stormtrak ini hanyalah bersifat kosmetik semata-mata, seperti kehadiran bar lampu bantuan LED pada jeriji, grafik baharu pada bahagian bed belakang, serta sistem Flexible Rack di mana ia secara asasnya merupakan bar sports yang boleh diluncurkan ke belakang.

Selain itu, ia turut mendapat rim baru bersaiz 20 inci dengan balutan tayar 255/55 yang lebih besar berbanding Ranger Wildtrak yang hanya mendapat rim 18 inci.

 

Stormtrak


Sayang sekali, varian Stormtrak ini tidak mendapat naiktaraf mekanikal seperti talaan kepada sistem suspensi, tayar off-road, serta perlindungan bawah badan seperti yang terdapat pada model Wildtrak X spesifikasi Australia.

Untuk ruang kabin, Ford telah menambah kemasan jahitan Race Red, perkataan Stormtrak pada papan pemuka, tempat duduk balutan kulit dan kemasan suede Miko, skrin kluster digital 12.4 inci, skrin tengah bersaiz 12 inci, kawalan iklim dua zon, e-Shifter dan brek parkir elektronik.
 

stormtrak


Kelengkapan keselamatan Ranger Stormtrak ini termasuklah sistem ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, bantuan parkir aktif, sistem kamera 360 darjah serta brek kecemasan autonomi.

Ford Ranger Stormtrak 2023 ini dijual pada harga bermula dari THB 1,264,000 (RM163,124) untuk versi 4x2, sementara versi 4x4 berharga THB 1,399,000 (RM180,546).

Baca: Ford Ranger Wildtrak X 2023 (Australia)