Ford Ranger Raptor 2023 - pilihan enjin V6 yang lebih berkuasa, 392 hp, 583 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Generasi baharu Ford Ranger Raptor 2023 telah pun dilancarkan secara rasmi pada tarikh yang cukup cantik - 22/02/2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pelancaran model ini sekaligus menjadikannya model ketiga yang duduk di bawah keluarga Raptor selepas F-150 Raptor dan Bronco Raptor.

Dari segi penampilan, Ranger Raptor 2023 membawakan rekaan badan yang lebih berisi, terutama di bahagian fender depan dan belakang, rim baharu bersaiz 17 inci, serta tayar all-terrain bersaiz 32 inci pada empat-empat arka roda.

Selain itu, ia juga turut menampilkan rekaan bampar baharu, tempat pemijak sisi aluminium, gril signatur beserta perkataan FORD, rekaan hud enjin berskup, serta pelekat Raptor.
 

Raotor


Sebagai sebuah kenderaan off-road, perlindungan bawah badan telah dipertingkatkan dengan pemasangan bash plate setebal 2.3 inci diperbuat daripada keluli berkekuatan tinggi, serta perlindungan tambahan pada bahagian enjin dan transfer case.

Ruang kabin pula menempatkan sepasang tempat duduk sports yang diinspirasikan daripada jet pejuang dengan kemasan unik serta jahitan kontras merah, roda stereng dengan pemanas terbina, paddle shifter magnesium, serta sistem pencahayaan ambien.

Secara standard, Ford Ranger Raptor didatangkan dengan unit lampu LED matriks, skrin kluster digital 12.4 inci, skrin sentuh 12 inci dengan sistem operasi SYNC4, serta sistem audio B&O dengan 10 pembesar suara.

Dari segi kuasa, Ford Ranger Raptor kini ditawarkan dalam dua pilihan enjin.
 

Raptor


Untuk sesetengah pasaran, Ranger Raptor masih boleh didapati dengan enjin diesel empat silinder sebaris 2.0 liter turbo, namun pasaran Eropah bakal mendapat nadi bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar yang mampu menjana 284 hp dan 491 Nm.

Angka tersebut lebih rendah berbanding spesifikasi Australia (392 hp/583 Nm), memandangkan Ford perlu mematuhi regulasi pelepasan emisi yang semakin ketat di Eropah.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan, di mana sistem pacuan empat roda itu dipadankan dengan transfer case dua kelajuan di depan, dan diff-lock elektronik di bahagian belakang.

Terdapat tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Mud/Ruts, Sand, dan Baja, dibantu dengan Trail Control System yang merupakan sistem yang hampir serupa dengan kawalan jelajah adaptif, akan tetapi lebih fokus kepada pemanduan off-road.
 

Raptor


Untuk runut bunyi yang lebih mengujakan, Raptor didatangkan dengan sistem ekzos tip berkembar injap aktif yang boleh ditetapkan kepada Quiet, Normal, Sport dan juga Baja.

Aspek gantungan pula mendapat komponen penyerap hentak FOX Live Valve 2.5 inci yang ditala oleh Ford Performance untuk mengurangkan kadar geseran sebanyak 50 peratus berbanding model terdahulu, diikuti dengan suspensi belakang Watts yang telah diperhalusi.

Disebabkan itu juga, jarak pergerakan suspensi kini meningkat kepada 290 mm di depan, dan 250 mm di belakang.

Ford Ranger Raptor 2023 bakal mendarat di Eropah menjelang akhir musim panas 2022, sementara pasaran tertentu bakal mendapat Ranger Raptor versi diesel pada tahun 2023.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Semenjak diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2022, Generasi baharu Ranger dan Ranger…
Berita Global
Namun begitu, terdapat perancangan untuk menghasilkan variasi trak pikap talaan Ralliart, termasuk…
Model Terbaharu
Ford Ranger Raptor yang dijual masa kini ditawarkan dengan enjin 3.0L V6 turbo berkembar…