Di Eropah, Ford baharu sahaja melancarkan varian terbaharu Ranger MS-RT dengan penampilan yang lebih mesra jalanan.
Walaupun dalam keadaan yang tidak bergerak, Ford Ranger MS-RT cukup gagah dengan fender lebar depan dan belakang dengan tambahan dimensi sebanyak 82 mm kiri dan kanan.
Unit bampar pula lebih menyerupai rekaan yang biasa kita lihat pada kereta penumpang, ditambah dengan kemasan corak sarang lebah pada struktur jeriji atas dan bawah, spoiler kabin, spoiler ekor dan juga diffuser.
Menurut Ford, penambahan ciri kosmetik ini bukan sekadar hiasan, akan tetapi membantu dari segi keseimbangan aerodinamik secara keseluruhan, terutama kestabilan pada pemanduan kelajuan tinggi.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim baharu bersaiz 21 inci yang dibaluti getah berprofil rendah saiz 275/45R21.
Tidak cukup dengan itu, Ford telah melebarkan lagi ukuran runut gandar depan dan belakang sebanyak 40 mm, diikuti dengan sistem gantungan yang lebih keras dan lebih rendah 40 mm.
Elemen sporti turut diterapkan pada ruang kabin, di mana penumpang dan pemandu hadapan mendapat sepasang tempat duduk sports balutan kulit eko dan suede dengan kemasan jahitan corak biru dan emblem MS-RT.
Roda stereng pula diberikan penanda pukul 12 yang juga menggunakan warna biru.
Ciri kelengkapan standard untuk Ranger MS-RT ini termasuklah skrin infohibur sebesar 12 inci, kawalan iklim dua zon, kamera undur serta kelengkapan keselamatan termaju ADAS.
Dari segi kuasa pula, Ranger MS-RT mendapat nadi bentangan V6 3.0 liter diesel turbo menghasilkan kuasa 237 hp dan 600 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan - sama seperti trim Wildtrak dan Platinum.
Ia juga berupaya membawa barangan kargo seberat 1,000 kg, dan keupayaan menunda brek (braked towing) sehingga 3,500 kg.
Berdasarkan video di bawah, Ford Ranger MS-RT digunakan untuk menunda jentera rali Ford Puma Rally1 milik M-Sport Ford World Rally Team yang mempunyai jisim seberat 1,260 kg itu.