Ford Ranger Hellwig - trak camper serba boleh!

oleh Mohamad Hanif|
Pada acara SEMA 2019 yang sedang berlangsung pada ketika ini, salah satu model konsep trak camper yang menarik datangnya daripada idea Hellwig and Old Steel Fabrication.

Trak pikap camper Ford Ranger ini direka supaya menjadi sebuah trak camper semua-dalam-satu, dipasang dengan beberapa komponen outdoor seperti khemah atas bumbung, dapur mudah alih, serta sistem janaan kuasa luar grid. 

 


Bagi memastikan trak ini mampu meredah segala laluan off-road, Hellwig telah memasang sistem suspensi Icon Vehicle Dynamics Stage 5, serta set tayar Falken Wildpeak M/T 35 inci yang membaluti rim Icon Alloys Compression bersaiz 17 inci. 

Jika dilihat sekali imbas, anda tidak akan menyangka Ford Ranger Hellwig ini mempunyai senarai peralatan yang lebih lengkap berbanding trak camper di luar sana. 
 


Pihak Hellwig memasang rak bed belakang berjenama Yakima sebelum menambah khemah bumbung Tepui Hybox yang boleh dilipat, atau dijadikan sebagai ruang storan sekiranya tidak digunakan. 

Memandangkan kedudukannya yang diposisikan sedikit tinggi, ia memberikan ruang kepada pemasangan rak dapur mudah alih Trail Kitchen, tungku pemanas Camp Chef, serta ruang penyejuk daripada ARB - kesemuanya boleh diakses dan ditarik keluar dengan mudah menerusi pemasangan BedSlide.

Dari segi kuasa, anda akan dibekalkan dengan stesen jana kuasa Goal Zero Yeti 1400 yang disambungkan kepada panel solar. 
 


Bagi mereka yang mempunyai gaya hidup aktif, anda boleh membawa kelengkapan berbasikal menerusi rak penggantung basikal yang dipasang di belakang bumper belakang. 

Rekaan rak basikal yang sangat fleksibel ini membolehkan anda memasak dengan ruang yang begitu luas di bahagian belakang tanpa gangguan daripada basikal yang tergantung. 
 


Melengkapkan lagi imej trak camper yang bergaya adalah set fender flare daripada Bushwhacker, bumper depan dan belakang Addictive Desert Design, gril T-Rex X-Metal, bar lampu Rigid serta layangan cat kustom retro LGE-CTS yang serba agresif. 

Add new comment

Careta Ad