Ford Ranger 2022 - rekaan baharu, kabin moden, kini dengan pilihan enjin V6!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah lebih daripada 10 tahun generasi T6 Ranger melata atas muka bumi, Ford akhirnya secara rasmi melancarkan Ranger generasi baharu, dengan pelbagai jenis penambahbaikan yang dibuat terhadap trak popular itu.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Dari segi luaran, ia membawakan rupa paras seakan Ford Maverick dengan unit lampu utama berbentuk C, garis badan yang lebih ringkas, serta rekaan lampu belakang yang diperbaharui.

Ranger generasi baharu membawakan perubahan dari segi ukuran jarak antara roda, kini 50 mm lebih panjang, dan bahagian kargo belakang mempunyai ukuran 500 mm lebih lebar berbanding Ranger terdahulu.
 

Ranger


Di bahagian bed itu juga, para jurutera telah mendatangkan tempat pemijak sisi terbina pada bampar bagi membolehkan pemilik meletakkan barang dengan lebih mudah.

Perubahan dimensi yang disebutkan tadi memberikan ruang kaki yang jauh lebih luas, serta membolehkan lebih banyak muatan disumbat pada bahagian belakang.

Selain itu, struktur hadapan trak pikap ini telah dibentuk secara hydro bagi membolehkan jurutera memuatkan trenkuasa yang lebih besar.
 

Ranger


Sebut pasal trenkuasa, Ford Ranger kini boleh didapati dalam varian enjin 3.0 liter diesel turbo V6 - diperoleh daripada F-150 - yang jauh lebih berkuasa, namun penawarannya dikatakan bergantung kepada pasaran.

Ranger juga turut dipasangkan dengan enjin EcoBoost 2.3 liter, atau nadi 2.0 liter diesel empat silinder sebaris turbo tunggal atau bi-turbo yang menawarkan kadar penjimatan bahan api yang lebih baik, serta talaan kuasa yang berbeza mengikut penawaran varian.

Pilihan transmisi pula adalah automatik enam nisbah kelajuan, selain transmisi manual enam kelajuan dan juga transmisi automatik 10 nisbah kelajuan yang telah dinaiktaraf.
 

Ranger


Sementara ruang kabin Ranger pula telah ditransformasikan sepenuhnya, kini  menampilkan skrin infotainmen menegak bersaiz 10.1 atau 12 inci dengan sistem operasi SYNC4 yang terkini dan menyokong kemaskini over-the-air (Ford Power-Up), diikuti dengan paparan kluster digital.

Susun atur papan pemuka juga telah dikemaskan dengan rekaan tuil gear yang lebih kemas, dial penukaran mod pemanduan, serta brek tangan elektrik yang menjadikan rekaan dalaman trak pikap ini seakan sebuah kereta sebenar.

Bergantung kepada varian, Ford menawarkan teknologi seperti lampu matrix LED, kamera 360 darjah, serta dua pilihan sistem pacuan empat roda iaitu sistem shift-on-the-fly elektronik atau sistem 4x4 sepenuh masa.
 

Ranger


Ford akan memasang Ranger generasi baharu bertempat di kilang di Thailand dan Afrika Selatan dalam bentuk badan Extended Cab dan Super Cab.

Menurut Ford, terdapat sehingga 600 buah aksesori yang bakal ditawarkan, di mana sesetengah daripadanya dibangunkan menerusi kolaborasi bersama ARB 4x4 Accessories.

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Namun begitu, kenderaan 4-wheel-drive (4WD) tidak bermaksud ia kurang dari segi keselesaan dan ciri…
Informasi
  Untuk model baharu ini, Ford telah menghabiskan banyak masa untuk mendengar pendapat pelanggan…