Ford Puma ST Powershift, SUV dengan enjin 1.0 liter turbo mild hybrid!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ford Puma ST Powershift 2023
Ford Puma ST Powershift 2023
Peminat Kejohanan Rali Dunia (WRC) pasti mengetahui ada sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang digunakan untuk bersaing dengan hatchback lain.

Iya, sebuah SUV digunakan untuk rali iaitu Ford Puma yang mewakili pasukan M-Sport World Rally Team dan 2023 merupakan musim kedua buat jentera hibrid itu.

Peminat di Eropah ditawarkan versi sporti Puma ST 1.5 liter EcoBoost pada 2020 dan kini ada pilihan baharu dengan enjin lebih kecil.

Ford Puma ST Powershift 2023 digerakkan enjin kecil 1.0 liter EcoBoost dengan teknologi mild hybrid dan transmisi Powershift (klac berkembar) tujuh kelajuan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Ford Puma ST Powershift 2023

 

Enjin 1.0 liter EcoBoost Hybrid 48 volt mild hybrid bukan baharu dan ditawarkan sejak Puma dilancar pada 2019 dan dipertingkatkan supaya sepadan dengan varian terbaru ini.

Sistem mild hybrid yang digunakan beroperasi dengan lebih pantas bagi mendapatkan semula tenaga dan dapat mengecas semula bateri 48 volt dengan lebih cepat.

Operasi lebih cepat membolehkan penghidup/penjana bersepadu pacuan tali sawat (BISG) menawarkan tempoh lonjakan (boost) lebih lama dan meningkatkan prestasi pada putaran enjin rendah.

Pengembalian semula tenaga turut menambah 10 PS kuasa bantuan elektrik dari BISG untuk melonjakkan lagi kuasa puncak.

 

Ford Puma ST 2023

 

Bersama talaan perisian khas untuk enjin turbo tiga silinder itu, kuasa yang dihasilkan meningkat hampir sepuluh peratus berbanding 155 PS pada enjin 1.0 liter EcoBoost Hybrid.

Bacaan mudah ialah 170 PS pada 5,750 rpm dan 248Nm pada 3,000 rpm.

Puma ST Powershift menggunakan teknologi ekzos aktif seperti Puma ST 1.5 liter EcoBoost dan mengeluarkan bunyi istimewa enjin ST semasa memecut.

Dikawal oleh Mod Pemanduan, injap ekzos ditutup dalam mod Normal dan Eco dan dibuka ketika mod Sport dipilih bagi menunjukkan belang 'puma'.

 

Ford Puma ST Powershift 2023

 

Selain enjin, bintang utama pada model ini ialah transmisi tujuh kelajuan Powershift dengan talaan perisian baharu bagi memaksimumkan prestasi dan kecekapan.

Dalam mod automatik penuh, kotak gear klac berkembar itu menawarkan tukaran lancar dan mudah terutama sekali pada trafik jalan dan henti.

Karakter itu membantu rangkaian kuasa mild hybrid beroperasi pada rpm optimum untuk kecekapan.

Bagi mengeksploitasi prestasi enjin, gear akan diturunkan tiga ke bawah untuk memecut atau dalam bahasa sopan memotong dengan lebih cepat.

 

Ford Puma ST Powershift 2023

 

Ketika mod Sport dipilih, transmisi juga akan memegang gear rendah dengan lebih lama untuk respon yang lebih sporti.

Bagi menukar transmisi secara manual pemandu dihidangkan pedal gear di sebalik stereng.

Tidak hanya keseronokan semata, transmisi Powershift membolehkan sistem Stop & Go berfungsi semasa Kawalan Jelajah Adaptif sedang aktif.

Sistem itu menghentikan Puma ST di dalam trafik henti dan mula dan kembali digerakkan secara automatik jika tempoh berhenti kurang daripada tiga saat.

 

Ford Puma ST Powershift 2023

 

Dari segi casis, Puma ST Powershift berkongsi konfigurasi yang sama dengan Puma ST seperti bar anti goleng 28 mm di belakang dan 24 mm di depan.

Rasuk belakang jenis torsion beam mempunyai kadar ketegaran kilasan (torsional stiffness) 2,000Nm atau 50 peratus lebih tinggi berbanding Puma standard.

Gegelung force vectoring ciptaan dan dipatenkan Ford mempertingkatkan pemanduan Puma ST Powershift dari segi kestabilan, kelincahan dan gerak balas.

 

Ford Puma ST Powershift 2023

 

Teknologi gegelung itu dipadan bersama penyerap hentak Hitachi tiub berkembar frekuensi reaktif di depan dan belakang.

Gabungan tersebut memberikan faedah dari segi kawalan badan kereta dan mengasingkan impak dari jalan semasa kelajuan tinggi.

Stereng dengan nisbah 11.4:1 pula lebih pantas daripada Puma standard.

Pakej yang digunakan adalah kombinasi komponen ST seperti knuckle, lengan stereng dan penggearan rak stereng.

 

Ford Puma ST Powershift 2023

 

Pakej itu memberikan respon lebih baik semasa mengambil selekoh berbanding Puma standard selain menerima sokongan dari sistem Torque Vectoring Control.

Pembrekan dipertingkatkan dengan cakera depan 325 mm atau 17 peratus lebih besar daripada Puma standard.

Penggalak brek ditala untuk modulasi, rasa dan maklum balas yang sepadan dengan pemanduan berprestasi.

 

Ford Puma ST Powershift 2023

 

Sebagai sebuah SUV sport, bahagian depan dan bawah Puma ST Powershift mempunyai daya mendap 80 peratus lebih tinggi berbanding Puma standard.

Bukan setakat aerodinamik, gril atas dan bawah ST direka bagi memaksimumkan penyejukan enjin dan kecekapan.

Lagi komponen istimewa ialah spoiler bumbung dan peresap bampar belakang.

Bahagian luar Puma ST Powershift menggunakan warna eksklusif Azura Blue dan lima lagi pilihan warna. Turut menyerlah rim 19 inci dalam warna Magnetite.

 

Ford

 

Dari segi praktikaliti dan sebagai sebuah SUV, ruang but mempunyai kapasiti 456 liter dan Ford MegaBox dengan ruang simpanan 80 liter di bawah lantai but.

Jika tidak ke hari litar, pemandu boleh memuatkan dua beg golf dalam keadaan tegak.

Satu lagi, pecutan 0 hingga 100 km/j Puma ST Powershift mengambil masa 7.4 saat. Lebih perlahan daripada Puma ST 1.5 liter EcoBoost dengan transmisi manual enam kelajuan.

Lebih perlahan namun durian perlu dibanding dengan durian kerana Puma ST Powershift menggunakan enjin 1.0 liter turbo.

Penulis: Muhammad Md Tajudin