Ford Puma Rally1 - trenkuasa PHEV, ganti peranan Fiesta dalam WRC 2022

oleh Mohamad Hanif|
Regulasi terbaharu yang ditetapkan untuk perlumbaan FIA World Rally Championship 2022 memerlukan pengeluar mengadaptasi penggunaan trenkuasa hibrid, dan Ford (menerusi M-Sport) kini ada jawapan tersendiri.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Memperkenalkan, Ford Puma Rally1 di mana crossover ini akan menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh Ford Fiesta WRC bermula pada tahun hadapan.

Ford Puma Rally1 didatangkan dengan enjin 1.6 liter turbo EcoBoost yang sama digunakan oleh Ford Fiesta, namun digandingkan dengan motor elektrik yang mampu menyalurkan kuasa tambahan 134 hp selama tiga saat.

 


Pek bateri pula adalah berkapasiti 3.9 kWh di mana ia boleh dicas kembali menerusi sistem regeneratif atau slot pengecasan di poin servis dalam tempoh 25 minit.

Sistem plug-in hybrid ini hanyalah seberat 95 kg sahaja dan ia dilindungi oleh casis yang serba kuat yang tahan daripada serpihan bendasing dan juga impak kemalangan.

Tidak lagi berdiri tinggi macam SUV, Puma Rally1 kini direndahkan sistem gantungannya, selain menampilkan pakej aero yang lebih agresif, fender depan dan belakang yang lebar, gril baharu, skup udara bumbung, dan pemasangan sayap belakang.

 


Menurut Malcolm Wilsen OBE, bekas pemandu rali dan kini pengarah urusan di M-Sport menjelaskan, "era baharu WRC merupakan salah satu kemajuan teknologi terbesar di dalam WRC pada ketika ini. Dengan pengenalan teknologi hibrid, ia membawa makna kereta akan menjadi lebih berkuasa.

"Perubahan daripada Fiesta kepada Puma merupakan satu perkara yang menarik, memandangkan nama itu juga sudah semestinya mempunyai sejarah yang tersendiri di dalam sukan rali. Saya tidak sabar untuk melihat aksinya di Monte Carlo Rally tahun depan," ujarnya lagi.

Jentera prototaip M-Sport Puma Rally1 ini dipandu oleh pelumba M-Sport Ford WRT, Adrien Formaux dan pemandu uji M-Sport Ford Matthew Wilson di Festival of Speed Goodwood sebelum pembangunannya diteruskan bagi menghadapi musim 2022.

 


Merujuk kepada perubahan regulasi terbaharu, semua jentera WRC 2022 perlu menampilkan trenkuasa plug-in hybrid untuk peningkatan kuasa, dan menggunakan mod elektrik sahaja apabila bergerak menerusi bandar dan antara peringkat-peringkat perlumbaan.

Selain daripada itu, FIA juga menetapkan penggunakan bahan api bebas fosil dengan elemen sistetik dan biodegradasi bagi menggantikan penggunaan petrol standard.

Selain Ford, pesaingnya Toyota (Yaris WRC) dan Hyundai (i20 WRC) juga turut komited terhadap perubahan regulasi yang telah ditetapkan itu.