Ford Puma 2024 dikemaskini, varian pantas ST kini dengan enjin sesaran lebih kecil

oleh Mohamad Hanif|
Masih ingatkah anda pada kereta coupe kompak Ford Puma yang kini dijelmakan sebagai sebuah crossover?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ford Puma crossover yang muncul pada tahun 2019 itu kini bertindak sebagai alternatif SUV kepada hatchback subkompak Fiesta yang telah pun ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2023.

Disebabkan SUV/crossover menjadi pilihan ramai, tidak menghairankan apabila Ford Puma menjadi model Ford yang paling laris terjual di pasaran Eropah.
 

puma


Kemaskini pertengahan kitaran untuk model tahun 2024 membawakan perubahan bersifat minima terutama pada bahagian luaran.

Menurut Ford, Puma kini dilengkapi dengan unit lampu LED matriks dengan lampu nyalaan siang seakan kuku binatang, sementara logo Ford pula ditampal pada bahagian jeriji.

Ford juga turut menawarkan sehingga enam warna baharu termasuklah warna baharu Cactus Gray, serta rekaan rim bersaiz 17 hingga 19 inci.
 

puma


Susun atur papan pemuka telah dikemaskini dengan membawakan sepasang skrin masing-masing bersaiz 12.0 inci (skrin tengah) dan skrin digital 12.8 inci.

Corong pendingin hawa tengah juga telah diubah kedudukannya ke bahagian atas skrin infohibur SYNC4.

Cuma, apa yang menyedihkan ialah Puma kini tidak lagi ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter, selain penawaran enjin 1.5 liter turbo dan kotak gear manual turut digugurkan daripada varian Puma ST.
 

puma


Pembeli sebaliknya hanya ditawarkan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo hibrid ringan dengan kuasa 168 hp/320 Nm yang dipadankan dengan kotak gear auto klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Sementara varian lain juga ditawarkan dengan enjin yang sama, namun dengan kuasa 123 hp/240 Nm yang boleh didapati dengan kotak gear manual, atau versi 153 hp/240 Nm dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Ford turut mengesahkan kehadiran varian elektrik sepenuh masa Puma Gen-E yang bakal tiba pada tahun ini.

Tiada perincian spesifik didedahkan, namun besar kemungkinan ia akan berkongsi trenkuasa yang sama dengan E-Transit Courier dan E-Tourneo Courier, masing-masing dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 134 hp.