Ford Mustang Mach-E 1400 - EV berkuasa 1,400 hp dengan tujuh motor elektrik!

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda tidak berpuas hati dengan spesifikasi Mustang Mach-E sedia ada, Ford telah menyediakan sebuah lagi model one-off berprestasi tinggi, dinamakan sebagai Ford Mustang Mach-E 1400.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak seperti Ford Mustang Mach-E standard yang hadir dengan konfigurasi motor elektrik tunggal (pacuan roda belakang) atau motor elektrik berkembar (pacuan semua roda), Mustang Mach-E hadir dengan tujuh (ya, tujuh!) unit motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,400 hp.

 


Tiga daripada motor elektrik tersebut digunakan untuk memacu roda hadapan, manakala selebihnya digunakan pada roda belakang, di mana kedua-dua gandar dihubungkan oleh aci pemacu kepada komponen differential.

Menurut Ford, sistem pacuan ini adalah sangat mudah untuk ditala bergantung kepada kehendak pemandu, sama ada untuk melakukan pemanduan pantas di litar, atau aksi pemanduan senget drift.

 


Penambahan kuasa yang mendadak tersebut memerlukan Ford menala kembali casis asal dengan modifikasi yang lebih ekstrem bagi menampung 1,400 kuasa kuda.

Lebih daripada 10,000 jam telah dihabiskan oleh Ford Performance dan RTR bagi memastikan Ford Mustang Mach-E ini mampu memberikan pemanduan yang diinginkan.

Ia termasuklah memasang kit badan lebar, serta menitikberatkan aspek aerodinamik yang dikatakan mampu menjana 1,043 kg daya turun pada kelajuan 258 km/j!

 


Manakala aspek pemberhentian EV yang super pantas ini diserahkan kepada komponen brek Brembo serta brek tangan jenis hidraulik bagi memudahkan pemandu melakukan aksi drift.

Namun, ia juga tetap didatangkan dengan sistem penggalak brek elektronik yang menggandingkan fungsi brek regeneratif, brek anti-kunci dan kawalan kestabilan.

 


Dengan status Mustang Mach-E 1400 sebagai binaan one-off, Ford tidak mungkin akan menghasilkan versi produksi Mach-E yang sangat pantas ini, namun menurut Ford, Mustang Mach-E 1400 akan digunakan sebagai 'tikus makmal' bagi pengujian bahan baharu seperti hud enjin yang menggunakan gentian komposit organik berbanding bahan gentian karbon.

Setakat ini, Ford Mustang Mach-E yang paling berkuasa hadir dalam varian GT yang menawarkan output 459 kuasa kuda dan daya kilas 830 Nm, sistem pacuan semua roda dan pek bateri yang mampu membenarkan jarak operasi sejauh 402 km.

Baca: Ford Mustang Mach-E 2021

Baca: Ford Mustang Mach-E laku keras!

Baca: Berkelah bersama si Mustang Mach-E

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dibina secara one-off, Mustang Mach-E 1400 didatangkan dengan tujuh unit motor elektrik yang…