Ford Mustang 2024 rasmi - rekaan dan ciri lebih moden, pilihan enjin 5.0 V8 atau 2.3 EcoBoost

oleh Mohamad Hanif|
Ini mungkin sekali generasi terakhir pony car dengan enjin pembakaran dalaman yang boleh anda miliki.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Ucapkan selamat datang kepada Ford Mustang generasi baharu yang telah pun rasmi dilancarkan semalam bertempat di North American International Auto Show 2022.

Ford Mustang 2024 (dengan nama kod S650) ini masih lagi cuba mengekalkan bentuk badan dan elemen rekaan yang banyak diinspirasikan daripada model-model terdahulu, dengan pendekatan yang lebih moden.
 

mustang


Sayang sekali, ia tidak nampak begitu garang mengikut mata penulis.

Unit lampu hadapan dikemaskini dengan teknologi Tri-Bar LED sementara arka roda belakang telah dilebarkan untuk tampak lebih gagah dan berisi.

Untuk versi fastback, garis bumbung pula telah dipanjangkan bagi membolehkan urusan keluar masuk menjadi lebih mudah.
 

mustang


Selain itu, Ford juga turut mendatangkan perbezaan rekaan di antara model Mustang 2.3 liter EcoBoost dan Mustang 5.0 liter GT, di mana versi GT didatangkan dengan rekaan hadapan yang berlainan, seperti gril dengan tiga seksyen, liang kemasukan udara bawah dibesarkan, diikuti dengan hud berventilasi dan splitter depan yang direka semula.

Rim standard adalah bersaiz 17 inci manakala varian GT pula hadir dengan rim bersaiz 19 inci atau opsyen rim 20 inci.

Ciri unik yang didatangkan pada Mustang baharu ini adalah ciri kawalan jauh yang boleh membuatkan enjin V8 anda mengaum dengan hanya menekan butang pada fob kunci sahaja. Unik bukan?
 

mustang


Perubahan yang besar boleh dilihat dalam ruang kabin, di mana Mustang 2024 kini menampilkan panel skrin tunggal yang menggabungkan paparan digital 12.4 inci, serta skrin SYNC4 13.2 inci, dengan kebanyakan kawalan telah diintegrasikan terus ke dalam skrin tersebut.

Hanya beberapa fungsi penting sahaja yang masih lagi kekal menggunakan butang fizikal, di mana ia adalah berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Ford terhadap kebanyakan pemilik Mustang sedia ada.

Namun, Mustang 2024 ini masih lagi hadir dengan roda stereng bawah rata, slot pengecasan telefon tanpa wayar, slot USB untuk kamera aksi, serta kelengkapan keselamatan menyeluruh termasuklah kawalan jelajah adaptif, pengecaman papan tanda dan Reverse Brake Assist.

Penawaran enjin masih lagi kekal dengan pilihan nadi EcoBoost 2.3 liter atau nadi V8 5.0 liter.
 

mustang


Tiada sebarang angka output didedahkan buat masa ini, namun Ford ada menyebut enjin 5.0 liter itu telah ditambah baik dengan ciri kotak kemasukan udara berkembar inovatif dan badan pendikit berkembar yang mampu meningkatkan aliran udara, dan menjadikan Mustang GT model standard V8 paling berkuasa.

Sistem transmisi boleh dipilih sama ada transmisi automatik 10 nisbah kelajuan, atau kotak gear manual enam nisbah kelajuan yang hadir dengan perisian rev-match.
 

mustang


Terdapat beberapa pakej yang ditawarkan untuk para pemilik Mustang seperti pakej Bronze Design Series yang menambah rim Sinister Bronze dan lencana gangsa, sementara pakej Performance Pack pula menambah komponen seperti strut brace depan, LSD Torsen, rotor brek Brembo (390 mm depan, 355 mm belakang), serta rekaan rim dan tayar yang lebih lebar.

Kereta yang dilengkapi dengan pek Performance itu tadi juga boleh didatangkan opsyen sistem peredam adaptif MagneRide, tempat duduk Recaro dan sistem ekzos aktif.

Tidak cukup dengan itu, untuk varian GT dengan Performance Pack pula boleh mendapat saluran penyejukan brek, sistem penyejukan minyak, Active Pothole Mitigation serta ciri menarik yang digelar sebagai electronic drift brake.
 

e-brake


Menurut Ford, ciri itu direka untuk golongan pemandu baharu mempelajari dan meningkatkan kemahiran drift, selain menawarkan sistem yang sedia untuk pertandingan bagi golongan yang lebih mahir.

Harga jualan Ford Mustang 2024 ini akan diumumkan kelak.

Berita Berkenaan

Berita Global
  Siri model perlumbaan itu didedahkan pada 14 September, hari yang sama Mustang 2024 dan Mustang…
Berita Domestik
  Berdasarkan laporan polis yang dibuat pemilik berdaftar kenderaan di Miri, Sarawak, penguat…
Berita Global
Menurut laman Youtube Auto Archeologist, ia bukanlah Mustang yang biasa-biasa, sebaliknya ia…