Varian itu digelar sebagai Dark Horse, ia bukan sahaja membawakan rupa paras yang lebih garang, malah ia turut menjanjikan prestasi yang lebih berkuasa.
Antara perubahan yang membezakannya dengan Mustang standard termasuklah unit lampu depan yang digelapkan, gril hitam baharu, skirt sisi, sayap belakang, diffuser, serta empat tip ekzos yang digelapkan.
Lencana baharu turut dipasangkan pada Mustang Dark Horse ini, serta warna baharu Blue Ember metallic.
Pembangunan Mustang Dark Horse sebenarnya telah pun bermula beberapa tahun yang lalu, di mana ia dilengkapi dengan enjin Coyote 5.0 liter bentangan V8 dengan komponen rod penyambung yang diambil daripada enjin 760 hp daripada Shelby GT500.
Angka output masih lagi dirahsiakan, namun Ford menyasarkan nadi V8 ini mampu menghamburkan kuasa sekitar 500 hp.
Selain itu, Mustang Dark Horse ini turut mendapat kotak gear manual enam kelajuan Tremec dan penyejuk minyak transmisi sebagai ciri standard, atau pilihan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan untuk mereka yang sayangkan kaki kiri.
Terdapat juga liang penyejukan brek, penyejuk minyak enjin tambahan, penyejuk gandar belakang, serta radiator unik yang lebih ringan dan menawarkan kuasa penyejukan yang lebih berkuasa.
Sistem gantungan turut mendapat penyerap hentak MagneRide yang mampu memantau pergerakan tayar sebanyak 1,000 kali bagi memastikan prestasi yang optimum dicapai, dibantu dengan pemasangan strut tower brace dan K-brace untuk pengendalian yang dipertingkatkan.
Keempat-empat sudut didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci dengan lebar 9.5 inci di depan dan 10 inci di belakang, serta balutan tayar Pirelli P Zero, sementara sistem pemberhentian jentera ini menggunakan angkup enam omboh 13.9 inci daripada Brembo di hadapan.
Bahagian kabin dilengkapi dengan roda stereng bawah rata yang dibaluti suede dan kemasan jahitan kontras Indigo Blue, diikuti dengan sistem audio B&O 12 pembesar suara, manakala model automatik pula mendapat paddle shifter perak beranod.
Ford turut menawarkan beberapa pakej tambahan seperti berikut:
- Handling Package - sayap belakang unik dengan kepak gurney, spring lebih keras, sway bar depan belakang yang lebih besar, rim 19 inci dengan tayar Pirelli Trofeo, opsyen rim gentian karbon
- Appearance Pack - tempat duduk Deep Indigo Blue
Harga jualan untuk Mustang versi pemanduan litar ini tidak diumumkan, besar kemungkinan harga akan bermula sekitar $60,000.