Ford Maverick merupakan cubaan Ford untuk memperluaskan lagi penawaran trak pikap, namun tidak seperti Ranger yang menggunakan platform ladder frame, Maverick mempunyai binaan unibodi - sama seperti Honda Ridgeline.
Selepas beberapa bulan gambar spyshot diperoleh, laman web Motor1 berjaya merakam imej sebenar badan putih (body-in-white) Ford Maverick tanpa sebarang pelekat samaran di atas badan model tersebut.
Sekali imbas, kita boleh melihat binaan badan trak pikap unibodi dengan pembawakan elemen daripada Ranger dan F-150, dan kehadiran ruang bed kargo yang sedikit pendek dimensinya jika dibandingkan dengan abangnya Ranger.
Menurut Motor1 lagi, Ford Maverick dikatakan berkongsi platform yang sama digunakan pada model seperti Bronco Sport, Focus dan Escape, dengan penawaran pacuan roda hadapan sebagai standard atau pacuan semua roda untuk varian tertinggi.
Melihatkan kepada hasil kerja yang didatangkan pada Bronco Sport, adalah tidak mustahil Ford Maverick bakal diberikan sedikit elemen agresif bagi membolehkan ia menawan laluan off-road yang ringan.
Ford Maverick ini bakal dijual bermula lewat tahun 2021 atau awal tahun 2022.
Sumber: Motor1