Ford guna robot untuk pandu uji, beri nama Shelby dan Miles

oleh Muhammad Md Tajudin|
Robot Shelby dan Miles
Robot Shelby dan Miles
Caroll Shelby dan Ken Miles adalah individu utama di sebalik pembangunan kereta Ford GT40 yang memenangi perlumbaan 24 Jam Le Mans pada tahun 1966.

Kedua-duanya adalah pelumba handalan cuma Caroll Shelby berubah haluan kepada menguruskan pasukan perlumbaan Ford di dalam perlumbaan tersebut.

Selepas itu adalah sejarah apabila Shelby terus melibatkan diri dalam dunia perniagaan kenderaan berprestasi.

Hubungan Ford dan Shelby begitu istimewa sehingga varian berprestasi Mustang dibangunkan dan dinamakan oleh dan dengan nama Shelby.

Kini pada tahun 2021 nama Ford, Shelby dan Miles bergabung lagi. Bukan untuk perlumbaan tetapi sebagai robot untuk pandu uji kereta.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Ford GT Prototype 1964

 

Ford mempunyai sebuah makmal canggih di Cologne, Jerman iaitu Weather Factory. Makmal itu digunakan sebagai tempat ujian dan simulasi pelbagai cuaca ekstrem di bawah satu bumbung.

Kemudahan in membolehkan jurutera Ford menguji kenderaan tanpa perlu keluar terutama sekali di dalam keadaan sekarang.

Walaupun lebih mudah dan dengan simulasi yang realistik, pemandu uji paling berpengalaman pun mengalami kepenatan atau kurang sihat contohnya ketika pengujian ketinggian.

Bagi menangani cabaran tersebut, Ford menggunakan dua robot pandu uji dan menariknya dinamakan dengan dua legenda iaitu Shelby dan Miles.

Memang tepat sekali kerana kedua-dua individu tersebut memandu uji dan membangunkan Ford GT40 puluhan tahun dulu.

 

Robot Shelby dan Miles

 

Tugas robot Shelby dan Miles ialah untuk membantu mendepani cabaran terutama sekali semasa ujian ketinggian di mana keperluan utama ialah ianya perlu dilakukan dengan sempurna berulang kali.

Tugas itu seperti mengulang kembali apa yang dilakukan oleh Caroll Shelby dan Ken Miles dalam pembangunan GT40 dengan misi untuk mengalahkan pengeluar handalan pada perlumbaan Le Mans.

Makmal ujian Weather Factory dibina dengan pelbagai simulasi canggih seperti di padang pasir Sahara sehingga ke puncak pergunungan Alpine.

Walaupun ujian dibuat di dalam makmal, sesi pandu uji yang melibatkan manusia perlu mematuhi pelbagai prosedur keselamatan seperti botol oksigen, peralatan perubatan dan paramedik di lokasi.

Turut diberi perhatian ialah keadaan kesihatan pemandu perlu sentiasa dipantau.

 

Robot Shelby dan Miles

 

Penggunaan robot pula memberikan pengalaman berbeza. Setiap robot pandu uji mampu beroperasi dari suhu -40°C sehingga +80°C dan pada ketinggian melampau.

Robot juga boleh ditetapkan dan diprogramkan mengikut gaya pemanduan berbeza.

Untuk sesi pandu uji, Ford meletakkan kaki robot pada pedal minyak, brek dan klac.

Tangan robot pula digunakan untuk menukar gear dan sebelah lagi bagi menghidupkan dan mematikan enjin.

Dengan segala kemudahan canggih sebegini tidak bermakna Ford mengabaikan ujian dunia sebenar.

Ford tetap membuat ujian lapangan di pelbagai lokasi di serata dunia termasuk gunung Grossglockner di Austria dan kawasan bersalji di Arjeplog, Sweden.

Satu perkara jelas, kelebihan manusia ialah terletak pada emosi, perasaan dan sebagainya yang tiada pada wayar, robot atau makmal ujian canggih.

PS - Jika PROTON mempunyai idea sebegini, penulis mencadangkan agar nama YM Tengku Azizan diberi perhatian.

 

Robot Shelby dan Miles

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas itu, Latihan Kemahiran 4WD Sarawak 4x4 Training Academy (Sar4Trac) pula akan diadakan, yang…
Berita Global
Isuzu D-Max menjadi kenderaan ketiga paling popular di negara kangaroo itu, dengan jualan sebanyak…
Berita Global
  Selain itu, XR3 dijual pada harga yang berdaya saing dan gabungan ciri-ciri tersebut…