Menurut laporan daripada Autocar, unit terakhir Ford Fiesta akan diluncurkan daripada barisan pengeluaran kilang Cologne, Jerman pada tanggal 7 Julai ini.
Dengan berakhirnya produksi Fiesta, kilang pemasangan Cologne akan diubah menjadi Cologne Electric Vehicle Centre yang akan dibuka secara rasmi pada 12 Jun untuk membina dan memasang SUV elektrik Ford Explorer.
Kilang neutral karbon pertama Ford yang menelan belanja sekitar $2 bilion itu dijangka akan memulakan produksi Ford Explorer SUV pada tahun ini, menjadikannya model kereta penumpang berkuasa elektrik yang dihasilkan secara besar-besaran di Eropah.
Buat masa ini, spesifikasi awalan Ford Explorer masih belum didedahkan, namun Ford mengesahkan model tersebut menawarkan konfigurasi pacuan roda belakang dan AWD, pengecasan pantas DC 10 hingga 80 peratus dalam masa 25 minit sahaja dan harga jualan bermula bawah 45,000 euro (RM229,193).
Ford Explorer merupakan salah satu daripada sembilan EV baharu yang bakal dilancarkan oleh Ford di Eropah menjelang tahun 2024.
Pengeluar itu menyasarkan jualan EV sebanyak 600,000 unit setahun di benua tersebut menjelang tahun 2026 di bawah divisyen Model e.
Sumber: Autocar