Ford F-150 Lightning Pro - trak pikap elektrik versi asas untuk kegunaan komersial

oleh Mohamad Hanif|
Trak pikap elektrik Ford F-150 Lightning telah pun selamat dilancarkan beberapa hari yang lalu, dan kini Ford mendedahkan spesifikasi varian asas yang dikhususkan untuk kegunaan pelanggan komersial, dikenali sebagai Ford F-150 Lightning Pro.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

F-150 Lightning Pro didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang menawarkan kuasa sehingga 426 hp dan daya kilas 1,051 Nm, dan jarak operasi sejauh 370 km dengan menggunakan pek bateri Standard Range.

Dengan kelengkapan pengecasan standard Ford Mobile Charger 32A, trak pikap ini boleh dicas selama 14 jam dari kapasiti 15 hingga 100 peratus, atau 44 minit menggunakan pengecasan pantas DC 150 kW (15 hingga 80 peratus).

 


Namun, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan opsyen Extended Range dengan kuasa yang lebih tinggi (536 hp) dan jarak operasi yang lebih jauh, iaitu 483 km.

Versi Extended Range ini mendapat kelengkapan pengecasan yang lebih bertenaga (Level 2) 80A yang membenarkan masa pengecasan sehingga lapan jam (15 hingga 100 peratus), atau pengecasan pantas DC dalam masa 41 minit dari 15 hingga 80 peratus.

Sama seperti F-150 Lighning biasa, F-150 Lightning Pro ini turut ditawarkan dalam versi SuperCrew empat pintu, bed sepanjang 1,676 mm namun tidak mendapat kelengkapan yang lebih mewah.

 


Ini kerana bahagian hadapan tidak menampilkan bar lampu LED penuh, rim aloi yang lebih kecil saiznya, serta bampar dan pemegang pintu yang tidak bercat.

Namun, ia tetap hadir dengan kelengkapan standard seperti tempat duduk vinil yang mudah untuk dicuci, sistem infotainmen SYNC4 bersaiz 12 inci, kluster digital 12 inci, serta sistem Co-Pilot 360 versi 2.0.

Untuk kemudahan ketika bekerja, Ford turut mendatangkan kelengkapan seperti tayar simpanan bersaiz penuh, sistem Intelligent Range yang mampu mengira jarak operasi berdasarkan beban, laluan, cuaca dan kapasiti bateri, serta sistem penimbang terbina dalam.

 


Trak pikap ini juga boleh dijadikan sebagai sumber kuasa, terima kasih kepada Pro Power Onboard dengan output AC 2.4 kW, empat daripadanya terletak di dalam frunk, sementara dua lagi di dalam kabin dan ruangan kargo.

Terdapat juga opsyen Pro Power Onboard dengan output yang lebih tinggi (9.6 kW) yang menambah dua outlet 120V dan satu outlet 240V.

Harga jualan di pasaran Amerika Syarikat adalah seperti berikut:

Ford F-150 Lightning Pro Standard Range - $39,974 (RM165,532)
Ford F-150 Lightning Pro Extended Range - $49,974 (RM206,942)