Ford Everest Sport dibangunkan berdasarkan varian Titanium, akan tetapi ia turut menerima beberapa penambahbaikan terhadap rupa luaran, seperti gril hadapan hitam, lampu utama Bi-LED dengan lensa projektor petak sama seperti Ranger Wildtrak dan Raptor, pelekat sisi dan lencana Sport.
Beberapa komponen luaran turut menerima kemasan hitam seperti bumper hadapan dan belakang, perkataan EVEREST pada bonet, tailgate garnish, tempat pemijak sisi, rel bumbung dan juga cermin sisi.
Untuk menjadikan penampilan Everest Sport ini lebih garang, ia dilengkapkan dengan set rim besar bersaiz 20 inci dengan tayar 265/50.
Sementara itu, tempat duduk boleh laras lapan cara di bahagian pemandu pula menerima upholsteri kulit dengan logo Sport, manakala papan pemuka yang menerima kemasan kulit yang serupa dengan jahitan kontras berwarna biru.
Sistem infotainmen pula adalah daripada SYNC 3 dengan skrin sentuh bersaiz lapan inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio dengan sembilan pembesar suara.
Aspek keselamatan tidak berubah, dan masih kekal dengan spesifikasi yang membawakan ciri ABS, EBD, Bantuan Brek, Sistem Pengurangan Risiko Terbalik, tujuh beg udara, Bantuan Mula Mendaki, serta sistem bantuan kamera undur dan sensor undur.