Ford Escort Alan Mann 68 Edition: Legenda lumba klasik dihidupkan semula!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ford Escort Alan Mann 68 Edition
Ford Escort Alan Mann 68 Edition
Kereta lumba sekarang ini memang canggih. Di sebalik jumlah kejuruteraan dan kejituan, kereta lumba klasik menawarkan ragam tersendiri.

Segala-galanya mekanikal dan pemandu perlu bergantung kepada kemahiran dan pengalaman sendiri.

Satu daripada hero puluhan tahun lalu dan kenal menarik adalah Ford Escort.

Diminati di serata dunia, Ford Escort dijadikan objek untuk dibaik pulih dan dikenang.

Terbaru Boreham Motorworks memperkenalkan Ford Escort Alan Mann 68 Edition.

Model ini dihasilkan mengikut spesifikasi asal kereta lumba yang memenangi British Saloon Car Championship.

Escort Alan Mann 68 Edition merupakan kereta pertama dalam Ultra Series Boreham Motorworks.

Boreham Motorworks menawarkan dua lagi pakej iaitu Collector Series dan Race Series.

Berapa unit Escort Alan Mann 68 Edition yang dihasilkan? 24 sahaja dan setiap pemilik akan dijemput menyertai siri acara perlumbaan.
Ford Escort Alan Mann 68 Edition 2025

 

Ford Escort Alan Mann 68 Edition ditawarkan dalam dua spesifikasi:

Period Correct

  • Unit kolektor yang sebenar dengan konfigurasi paling ringan
  • Dibuat mengikut peraturan FIA Group 5
  • Sama seperti keadaan asal kereta lumba (XOO 349F) selepas tamat perlumbaan bersama Alan Mann pada penghujung 1969

Modern Race

  • Disertakan dengan Pasport Teknikal FIA, termasuk ciri keselamatan moden seperti yang diperlukan dalam perlumbaan masa kini.

Selain siri perlumbaan, sekiranya perlu latihan untuk lesen lumba juga disediakan. Sesi penyertaan turut merangkumi sokongan kru pit Alan Mann Racing.

Alan Mann 68 Edition lahir daripada pembangunan Escort Mk1 RS jalanan oleh Boreham Motorworks yang diumumkan pada Disember 2024.

Di dalam proses pembangunan, mereka yang terlibat menyedari peluang untuk menghidupkan semula kereta lumba ini.

Ini dilakukan sebelum model jalanan diperkenalkan secara rasmi pada musim panas 2025.

Escort Mk1 RS jalanan dan Escort Alan Mann 68 Edition berkongsi panel badan yang sama dengan kereta lumba asal 1968.

Namun persamaan terhenti di situ. Escort Mk1 RS direka untuk kegunaan jalan raya dengan gabungan warisan dan teknologi moden.

Alan Mann 68 Edition pula merupakan replika ekstrem kereta lumba asal Alan Mann Racing, tanpa kompromi dalam spesifikasi mahupun pengalaman pemanduan.

 

Ford Escort Alan Mann 68 Edition 2025

 

Untuk ketepatan yang jitu, Boreham Motorworks menanggalkan dan mengimbas setiap komponen asal di pusat DRVN Advanced Engineering, Coventry.

Model CAD yang dihasilkan berasaskan kereta dengan nombor casis BB48HR39279 (AMR4).

Unit ini dipandu Frank Gardner dan dikenali ramai dengan nombor pendaftaran XOO 349F dan dipercayai Ford Escort paling bernilai di dunia.

Proses pembuatan dan pemasangan dijalankan sepenuhnya dalam kawalan Boreham Motorworks.

Pengimbasan CAD dan pembangunan produk dimulakan di Coventry, diikuti pembuatan badan dan cat di fasiliti Newton Aycliffe.

Pemasangan akhir dan penyelarasan dinamik dilakukan di ibu pejabat Alan Mann Racing di Chobham, Surrey. 

Gabungan teknologi moden dengan ketukangan warisan ini memastikan setiap unit merupakan karya seni sejati.

Ia dihasilkan dengan ketelitian sama seperti kereta lumba asal.

Di sebalik bonet Ford Escort Alan Mann 68 Edition terletak enjin 1.8 liter Twin Cam yang menghasilkan 205 ps.

Enjin ini dibangunkan mengikut peraturan FIA bersejarah untuk mengekalkan pengalaman perlumbaan era asal.

 

Ford Escort Alan Mann 68 Edition 2025

 

Enjin dipadankan dengan kotak gear manual empat kelajuan bullet untuk pertukaran gear mekanikal yang tepat dan penuh rasa.

Dengan berat kering serendah 795 kilogram (kg), nisbah kuasa kepada berat memberikan pecutan pantas, responsif dan kawalan dinamik yang menyeronokkan.

Suspensi Alan Mann 68 Edition meneruskan legasi kejuruteraan Alan Mann Racing dengan input asal daripada Len Bailey, jurutera casis Ford GT40.

Bailey memperkenalkan konsep suspensi perlumbaan endurance ke dalam Escort, termasuk reka bentuk bearing atas strut MacPherson.

Rekaan ini turut merangkumi beberapa lagi ciri termasuk lengan kawalan luar songsang (inverted).

Semua komponen yang asalnya dibuat dengan tangan oleh Jim Rose, dibangunkan semula untuk Alan Mann 68 Edition.

Menariknya, Jim Rose yang merupakan salah seorang daripada juruteknik utama Alan Mann kembali membina komponen setelah hampir 60 tahun.

Pakej suspensi turut terdiri daripada penyerap hentak boleh laras dua hala dari KONI, bar anti-oleng depan dan beberapa lagi untuk pengendalian dan kestabilan.

Di bahagian belakang, kereta ini menggunakan gandar kekal dengan sambungan Watts yang unik dipasang di bawah muncung kotak pembeza.

Rekaan ini bersama dengan pautan longitudinal hadapan, bar torsi dan dan penyerap hentak menegak untuk kawalan belakang yang luar biasa.

 

Ford Escort Alan Mann 68 Edition 2025

 

Ini membolehkan kereta mengawal kuasa dengan berkesan dan mengekalkan cengkaman yang cemerlang ketika selekoh berkelajuan tinggi.

Komponen brek depan terdiri daripada cakera pepejal dengan diameter 254 milimeter (mm) dan dipadankan bersama angkup P16.

Brek belakang menggunakan cakera pepejal dengan diameter 245 mm dan angkup Girling NR.

Kereta klasik sebegini wajib menggunakan rim period correct dan bahagian depan dipasang rim bersaiz 13 inci x 8 inci dengan tayar 475/1000.

Bahagian belakang bersaiz 13 inci x 9 inci dan tayar 475/1150. Peraturan Group 5 membenarkan roda belakang sehingga 10 inci dan roda depan sehingga 8.5 inci

Selain corak warna merah emas ikonik Alan Mann Racing, kereta ini mengekalkan dapra lebar yang direka oleh juruteknik utama Peter Bohanna.

Bukan sekadar model edisi terhad, Ford Escort Alan Mann 68 Edition adalah kesinambungan yang tepat dari sebuah karya agung dalam sukan permotoran.

Projek ini memberikan peluang kepada pengumpul dan peminat perlumbaan sejarah untuk merasai dan memiliki salah satu kereta lumba paling terkenal dalam sejarah.

Penulis: Muhammad Md Tajudin