Ford dijangka buang 8,000 pekerja

oleh SALINA JALIL|
Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), Ford bersedia untuk mengurangkan beberapa ribu pekerja dalam usaha mengurangkan kos dan memperhebatkan peralihannya kepada kenderaan elektrik (EV), lapor media AS.


Kumpulan dijangka mengumumkan pemberhentian lebih 4,000 pekerja dalam beberapa minggu lagi, menurut Wall Street Journal, yang memetik individu rapat dengan perkara itu.

 

Pekerja kilang dijangka tidak terkesan, kata laporan berkenaan. Bloomberg berkata, kira-kira 8,000 pekerja mungkin terkesan.

 

Seorang jurucakap Ford yang dihubungi AFP enggan memberikan kenyataan mengenai 'spekulasi' itu.

 

Namun, kumpulan dijadual mengadakan sidang akhbar hari ini untuk memberikan perkembangan terkini mengenai rancangan transformasi ke arah EV.

 

"Eksekutif utama Ford akan memberikan butiran mengenai cara syarikat membina sistem industri untuk mencapai kadar pengeluaran global 600,000 EV, meningkat kepada lebih dua juta EV menjelang 2026," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

"Seperti yang telah kami katakan beberapa kali, untuk melaksanakan transformasi Ford+ dan menerajui era baharu mengujakan kenderaan elektrik dan terhubung, kami sedang membina semula usaha dan memodenkan organisasi merentasi semua unit perniagaan automotif serta seluruh syarikat," kata jurucakap itu dalam mesejnya.

 

"Kami menetapkan sasaran jelas bagi struktur kos supaya mantap dan berdaya saing sepenuhnya dengan yang terbaik dalam industri."

 

Dicabar oleh Tesla dan beberapa syarikat pemula lain, pengeluar kereta tradisional mempercepatkan pengeluaran model elektrik mereka beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Mac lalu, Ford mengumumkan entiti khusus baharu, Ford Model e.

 

Ketika itu, ia berkata mahu mengeluarkan dua juta EV setahun menjelang 2026, satu pertiga daripada pengeluaran global dan merancang untuk membelanjakan AS$50 bilion bagi tujuan itu.

 

Eksekutif syarikat juga berkata mereka mahu mengurangkan perbelanjaan ke atas kenderaan tradisional sebanyak AS$3 bilion setahun.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, langkah pemberhentian pekerja itu akan bermula pada musim panas…
Berita Global
  Tinjauan yang suram dibuat dua hari selepas bilionair itu memberitahu kakitangan supaya kembali…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, pengeluar itu dikatakan menghantar emel berbentuk tips kepada…