Ford Bronco Sport 2021 - pakej SUV moden dengan keupayaan off-road

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada Ford Bronco bersaiz penuh yang hadir dalam dua pintu dan empat pintu, Ford juga turut menawarkan sebuah lagi model di dalam keluarga Bronco, iaitu SUV Bronco Sport.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi penampilan, ia banyak membawakan persamaan dengan versi Bronco dua pintu dan Bronco empat pintu, disamping mengekalkan identiti keluarga Bronco yang terdahulu di dalam pakej SUV moden.

Imej hadapan dihiasi dengan lampu utama berbentuk bulat yang mengapit rekaan gril yang menampilkan nama Bronco. 
 


Sementara bahagian sisi pula menampilkan reka bentuk yang lebih ringkas tanpa sebarang garisan yang agresif, serta pemakaian cladding plastik mengelilingi arca roda. 

Antara ciri menarik yang dikesan termasuklah liang udara pada fender hadapan, dan rekaan bumbung jenis 'stepped' safari style yang menyumbang kepada penambahan ruang kabin dan ruang kepala penumpang baris kedua. 
 


Dari segi dimensi, Ford Bronco Sport mempunyai ukuran panjang 4,387 mm, lebar 2,088 mm dan tinggi antara 1,783-1,890 mm serta jarak antara roda 2,670 mm, lebih kecil berbanding model Ford Escape.

Ford Bronco Sport juga menawarkan jarak kelegaan tanah yang terbaik di dalam kelasnya, setinggi 224 mm dengan keupayaan menyelam sedalam 599 mm, sudut approach 30.4 darjah, sudut departure 33.1 darjah dan sudut breakover 20.4 darjah. 
 


Memasuki ruang kabin, rekaan papan pemuka pula lebih bersifat minimalis dan memudahkan pemandu mencapai butang fungsi dan terdapat skrin infotainmen SYNC3 bersaiz 8 inci di bahagian tengah. 

Sementara ruang konsol tengah pula lebih ringkas dengan kehadiran penukar gear jenis rotary shifter. 

Walaupun bersifat minimalis dan ringkas, terdapat beberapa ciri menarik dimuatkan pada kabin seperti strap MOLLE, poket berzip di bahagian belakang tempat duduk, dan pembuka tutup botol di ruang kargo!

Kelengkapan lain untuk disesuaikan dengan pemanduan off-road termasuklah lampu limpah LED, meja kerja terbina dalam dan mudah untuk disimpan, lantai getah boleh basuh dan inverter 400-watt.
 


Tidak seperti model Bronco, Ford Bronco Sport hadir dalam lima penawaran trim iaitu Base, Big Bend, Outer Banks, Badlands dan First Edition yang hanya dihadkan kepada 2,000 unit sahaja. 

Model edisi khas itu tadi dilengkapi dengan elemen warna hitam, pakej menunda, roda aloi bersaiz 17 inci dengan tayar all-terrain 29 inci, tempat duduk balutan kulit Navy Pier, roda stereng dengan pemanas terbina dalam, bumbung moonroof dan sistem audio B&O dengan 10 pembesar suara.

Namun, secara standard, SUV Bronco Sport ini hadir dengan ciri bantuan pemanduan Co-Pilot360 yang merangkumi bantuan pra-pelanggaran, brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sistem pemantauan titik buta, bantuan kekal laluan, dan bantuan suluhan tinggi automatik. 

Opsyen Co-Pilot360 Assist+ memberikan tambahan ciri kawalan pelayaran adaptif dengan ciri lane-centering, bantuan stereng evasif, dan sistem navigasi dengan pengaktifan suara. 
 


Terdapat dua varian enjin ditawarkan untuk Ford Bronco Sport, di mana versi asas menerima enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter EcoBoost yang menghasilkan 181 kuasa kuda dan 257 Nm daya kilas. 

Sementara versi Badlands dan First Edition pula menerima nadi empat silinder sebaris 2.0 liter EcoBoost yang lebih berkuasa, dengan output 245 hp/372 Nm, sistem pacuan 4x4 yang lebih maju, unit pacuan belakang klac berkembar dan kunci differential. 

Versi Badlands dan First Edition juga turut menampilkan suspensi yang telah ditala semula dengan penyerap hentak monotube belakang yang lebih besar, spring yang lebih lembut, bar anti-oleng,  serta perlindungan bawah badan untuk pemanduan off-road yang lebih serius. 
 


Kuasa daripada kedua-dua enjin itu tadi kemudian dipadankan dengan sistem transmisi automatik lapan nisbah kelajuan, namun model yang dilengkapi enjin 2.0 liter hadir dengan tambahan sistem penyejukan dan paddle shifter SelectShift. 

Ford Bronco Sport turut didatangkan dengan terrain management system yang menawarkan sehingga tujuh mod pemanduan G.O.A.T (Goes Over Any Terrain) termasuk Normal, Eco, Sport, Slippery dan Sand.

Ciri khusus untuk off-road turut disertakan seperti Trail Control System - ciri pemanduan seperti kawalan pelayaran untuk off-road - yang membenarkan pergerakan hadapan sehingga 32 km/j atau  mengundur 10 km/j tatkala sistem mengawal pendikit dan brek. 


 


Menurut Ford, ciri itu tadi membenarkan pemandu memfokuskan kepada laluan yang ditempuh tanpa perlu risau akan aspek pecutan dan brek. 

Model Bronco Sport boleh dilengkapi dengan opsyen kamera khusus untuk off-road yang mampu memaparkan halangan yang mungkin tersembunyi dari pandangan menerusi sistem infotainmen. 

Harga jualan untuk Ford Bronco Sport bermula dari $28,155 (RM120,236) dengan yuran tempahan serendah $100 (RM427). 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, berita kurang baiknya, tidak semua negara Eropah bakal menerima kehadiran SUV ini, malah ada…
Berita Global
Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh National Highway Traffic Safety Administration, masalah ini…
Berita Global
Dari segi rupa, Ford Bronco Everglades (macam nama pewangi kereta pula) menampilkan grafik unik…