Model ini bermula sebagai unit pra-produksi sebelum diubah suai sepenuhnya menjadi jentera lumba pasir, dan kini ia bakal dilelong dalam keadaan telah dipulihkan tanpa mengorbankan identiti asalnya.

Fokus Ringan Dan Laju
Sejak awal, falsafah pembinaan Bronco ini sangat jelas, iaitu mengurangkan berat sebanyak mungkin demi kelajuan maksimum. Hampir semua komponen tidak penting dibuang, termasuk brek hadapan yang sengaja digugurkan bagi menjimatkan berat.
Suspensi hadapan dipadankan dengan heavy-duty shock absorber, manakala roda menggunakan rim 15 inci bersama tayar Goodyear khas yang mempunyai alur bunga dipotong tangan untuk cengkaman lebih baik di atas pasir.

Enjin Inline-Six Dengan Paxton Supercharger
Di bahagian enjin, unit asal inline-six 170 cubic-inch telah dinaik taraf dengan Paxton supercharger. Ia turut menggunakan dua karburetor Stromberg dua-barrel serta intake manifold khas.
Sistem kemasukan udara dan ekzos baharu turut dipasang, namun angka kuasa sebenar tidak pernah diumumkan. Kuasa disalurkan ke roda melalui transmisi manual tiga kelajuan yang telah diubah suai.
Untuk prestasi cengkaman, Bronco ini dilengkapi diferensial limited-slip di hadapan dan belakang, traction bars serta sistem suspensi yang dipertingkatkan.

Kabina Kosong Demi Penjimatan Berat
Bahagian kabin juga dibina dengan pendekatan minimum. Tiada pintu, tiada tingkap, dan tiada kemasan. Hanya sebuah bucket seat tunggal, stereng, serta beberapa meter asas pada papan pemuka kayu.
Rekaan ini jelas menunjukkan Bronco ini bukan dibina untuk keselesaan, sebaliknya semata-mata untuk perlumbaan. Pemakaian helmet juga dianggap keperluan asas.

Dipulihkan Tanpa Hilang Identiti Asal
Jentera unik ini menjalani restorasi penuh pada tahun 2011. Walaupun komponen mekanikal diberi perhatian menyeluruh, rupa dan konsep asal sebagai sand racer ekstrem dikekalkan sepenuhnya.
Bronco ini pernah bertanding dalam pelbagai acara perlumbaan pada penghujung 1960-an, menjadikannya sebuah jentera bersejarah, bukan sekadar pameran.
Kini ia bakal dilelong, dan walaupun tiada anggaran harga diumumkan, Bronco ini jelas merupakan satu kepingan sejarah Ford yang sangat jarang ditemui.
Sumber: Carscoops