Selain daripada kenderaan komersial, Force Motors turut mengeluarkan kenderaan di dalam segmen Multi Utility Vehicle (MUV), seperti Trax Toofan dan Trax Cruiser.
Kini, sebuah SUV yang lebih besar menyertai keluarga MUV yang diberikan nama Citiline.
Ia membawakan ukuran sepanjang 5,120 mm, jarak antara roda sepanjang 3,050 mm, reka bentuk berkotak yang mengingatkan kita kepada model lama G-wagen, serta casis ladder-frame yang telah lama wujud sejak dari tahun 90-an lagi.
Antara ketiga-tiga model yang disebutkan tadi, Citiline merupakan model yang paling premium dengan membawakan kemasan warna badan pada bampar, fender dan jeriji.
Disebabkan saiznya yang agak panjang, Citiline mampu memuatkan sehingga 10 orang penumpang pada satu-satu masa dengan susunan 2+3+2+3.
Kelengkapan yang dimuatkan juga amat asas, namun yang pasti terdapat corong pendingin hawa untuk penumpang belakang disediakan.
Force Citiline digerakkan dengan enjin purba Mercedes-Benz, iaitu nadi diesel 2.6 liter common-rail yang mampu menjana kuasa 90 hp dan daya kilas 250 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima nisbah kelajuan.
Harga jualan Force Citiline ini bermula dari ₹15.10 Lakh (RM81,191) di pasaran India.