Fisker Rōnin, kereta berhud elektrik, 999 unit, RM1.7 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Fisker Rōnin
Fisker Rōnin
Pasaran kenderaan elektrik (EV) semakin meriah dengan penawaran model-model baharu. Kerajaan menawarkan pelbagai insentif dan pengguna berani mencuba.

Penawaran EV juga pelbagai, dari kereta kecil, sedan, kenderaan utiliti sukan (SUV) hingga kepada kereta hiper.

Terbaru Fisker Inc. dari Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan Fisker Rōnin Super GT, kereta berhud (convertible) elektrik dan dikeluarkan sebanyak 999 unit sahaja.

Fisker Inc. adalah syarikat baharu selepas Fisker Automotive yang mengeluarkan kereta sedan sport Karma pada 2011.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Fisker Ronin 2023

 

Satu perkara menarik ialah Fisker membangunkan Rōnin dengan ciri praktikal berbanding jenama prestasi lain yang menawarkan SUV.

Fisker merekabentuk Rōnin untuk memuatkan lima penumpang dan memanfaatkan bentangan EV dalam memberikan ruang bagasi yang luas.

Satu ciri yang sukar ditemui di dalam segmen kereta super dan EV mempunyai lebih banyak ruang berbanding kereta biasa kerana tidak mempunyai enjin.

 

Fisker Ronin 2023

 

Fisker juga membangunkan Rōnin dengan fokus pada nikmat pemanduan berbanding teknologi autonomi.

Fisker tidak berkongsi maklumat mengenai rangkaian kuasa kecuali pecutan dari 0 hingga 60 batu sejam (97 km/j) hanya perlu dua saat dan kelajuan maksimum 275 km/j.

Sebagai rujukan, varian paling berkuasa SUV Fisker Ocean menggunakan motor elektrik 349 kW dan bateri 113 kWj.

Luar biasa apabila Fisker menyasarkan jarak pemanduan sehingga 965 kilometer.

 

Fisker Ronin 2023

 

Status kereta super tidak bermakna kurang praktikal dan pintu belakang jenis rama-rama memudahkan penumpang masuk dan keluar kereta.

Sebagai kereta berhud, penumpang juga boleh melompat sahaja dari luar seperti lagak filem barat.

Fisker hanya membekalkan satu pembuka pintu pada setiap sisi dengan pintu depan boleh dibuka melalui satu geseran atau menggunakan telefon pintar.

 

Fisker Ronin 2023

 

Pembuka pintu akan dipanjangkan ke pintu belakang. Kesemua pintu juga boleh dibuka melalui telefon pintar.

Jika susah, lompat sahaja dari luar seperti yang dicadangkan di atas.

Operasi bumbung gentian karbon pun sama, boleh diaktifkan melalui telefon pintar dan disimpan di dalam but secara automatik.

 

Fisker Ronin 2023

 

Selain but belakang, but depan boleh diguna untuk simpanan beg. Rim dengan corak unik berukuran 23 inci dan dibuat dari gentian karbon supaya lebih ringan.

Casis Rōnin menggunakan kerangka ruang (space frame) aluminium dengan sel bateri bersepadu bagi mendapatkan sasaran jarak pemanduan.

Perkakasan bahagian dalaman kereta menggunakan bahan lestari termasuk yang dikitar semula. Fisker mahu menjadikan Rōnin sebagai kereta super paling lestari di dunia.

 

 

Fisker Ronin 2023

 

Dari gambar boleh dilihat skrin besar pada pemuka dengan saiz 17.1 inci manakala gugusan meter betul-betul di depan pemandu.

Tempahan Rōnin sudah dibuka dan penghantaran kepada pelanggan disasarkan pada setengah tahun kedua 2025.

Harga? AS$385,000 (RM1,765,534) dan seperti yang dinyatakan dikeluarkan dalam jumlah terhad 999 unit sahaja.

Penulis: Muhammad Md Tajudin