AS dan sekutunya mengenakan sekatan secara meluas ke atas Moscow susulan serangan dibuat terhadap Ukraine pada Februari lalu.
Mereka menyasarkan untuk menyingkir Russia daripada sistem kewangan global dan menyekat dana yang tersedia untuk Moscow bagi membiayai kos perang.
Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina, Arsenio Andolong, pihaknya akan 'memformalkan penamatan' kontrak berhubung tempahan berkenaan.
Tanpa menyebut sekatan AS ke atas Moscow, Andolong memberitahu AFP, pembatalan itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu selepas melihat perubahan perkembangan politik global.
Setiausaha Pertahanan di bawah pemerintahan Duterte, Delfin Lorenzana berkata, pada Mac lalu, Filipina membayar deposit untuk helikopter berkenaan sebelum perang tercetus di Ukraine dan urusan pembelian berjalan lancar.
Bagaimanapun, pada minggu lalu, Lorenzana, yang kini mengetuai sebuah agensi kerajaan memberitahu media tempatan bahawa Duterte sendiri memutuskan untuk membatalkannya kerana kebimbangan berhubung ancaman sekatan oleh AS.
"Saya tidak tahu sama ada masih boleh mendapatkan semula wang itu kerana kami yang menamatkan kontrak," katanya kepada pemberita.
Pihak pejabat kedutaan Russia di Manila gagal dihubungi hari ini bagi mendapatkan reaksi.
Dalam pada itu, Duta Filipina ke Washington, Jose Romualdez baru-baru ini memberitahu AFP keputusan untuk pembatalan itu disebabkan 'tercetusnya perang di Ukraine'.
Romualdez berkata, Manila juga mengambil langkah berhati-hati kerana melanggar undang-undang AS yang diluluskan pada 2017 iaitu menyekat sesiapa yang menjalankan perniagaan dengan sektor perisikan atau pertahanan Russia.
Katanya, AS menawarkan helikopter alternatif untuk memenuhi keperluan berkenaan.
- AFP