"Fikir Keselamatan, Tunggang Dengan Bertanggungjawab" - Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2018

oleh SALINA JALIL|
Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. (KMMSB) telah melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya 2018 yang ke-tiga sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut nanti. Kempen ini telah dirasmikan oleh Dato' Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia bertempat di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan pada pagi tadi.

Dalam ucapan Encik Ahmad Faez bin Tan Sri Yahya, Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, beliau telah menyatakan bahawa kempen ini adalah anjuran bersama Persatuan Penjual Motorsikal & Skuter Malaysia (MASAAM), selain agensi-agensi kerajaan dan korporat seperti Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad, AEON Credit Service, KHI Helmet, Bridgestone dan Nestle Malaysia. 

 

 

Bertemakan "Fikir Keselamatan, Tunggang Dengan Tanggungjawab", kempen ini diharapkan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama semasa musim perayaan.  Menurut statistik dari MASAAM, di antara tahun 2007 sehingga 2016, jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia adalah sebanyak 73,954 dan 63 peratus (40,609) adalah dari pengguna motosikal.  80 peratus dari kemalangan ini adalah berpunca dari kecuaian dan kesalahan manusia sendiri.

 

 

kawa 1

 

Objektif utama kempen ini adalah untuk memberi penekanan dan kesedaran kepada penunggang motosikal tentang aspek keselamatan, cara penunggangan yang cermat serta kepentingan penyelenggaraan motosikal yang teratur dan aspek pemakaian yang betul supaya lebih jelas kelihatan beserta jaket berpatulan cahaya merupakan ciri-ciri yang penting semasa menunggang.

 

Dalam teks ucapan Dato' Sri Liow Tiong Lai, beliau telah menyatakan kebimbangan pihak kerajaan berikutan kadar statistik kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah kategori tertinggi yang melibatkan angka kematian.  Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya bagi tahun 2016 adalah 7,152 kematian dan dari jumlah tersebut, jumlah kematian penunggang dan pembonceng motosikal adalah sebanyak 4,485.  Ini jelas menunjukan bahawa mereka adalah pengguna jalan raya yang paling berisiko semasa di jalan raya.

 

Dato' Sri Liow juga berkata bahawa Kementerian Pengangkutan akan terus berusaha untuk menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya di Malaysia.  Tambah beliau lagi, program sebegini sememangnya membantu kerajaan dalam misi mengurangkan kadar kemalangan dan berharap lebih banyak syarikat-syarikat swasta dan korporat dapat bekerjasama di bawah tanggungjawab sosial atau CSR (Corporate Social Responsibility). Gabungan usaha bersepadu ini juga menunjukan bahawa kerajaan serius dan komited dalam melaksanakan usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. 

 

 

 

Sempena perasmian kempen tersebut, KMMSB telah menyediakan pemeriksaan motosikal 16-bahagian secara percuma untuk semua jenis motosikal tanpa mengira model dan jenama untuk hari ini sahaja. Di samping itu, penukaran topi keledar secara percuma kepada mereka yang layak juga disediakan. Jaket keselamatan pantulan cahaya juga diberikan secara percuma kepada pengunjung. Terdapat juga trak minuman yang menyediakan minuman sejuk kepada pengunjung.

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Bersempena dengan ulang tahun ke-30 Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal…
Berita Domestik
Majlis perasmian kempen ini disempurnakan oleh YB Dato' Rosli bin Isa, Ketua Pengarah JKJR serta…