Fiat Pulse Abarth - crossover prestasi yang mampu milik untuk pasaran Brazil

oleh Mohamad Hanif|
Fiat Pulse merupakan sebuah model crossover subkompak (segmen B) yang dihasilkan untuk pasaran Brazil, dan kini model tersebut ditampilkan dengan elemen SUV pantas daripada divisyen prestasi Abarth.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Dari segi penampilan, Pulse Abarth ini didatangkan dengan muka hadapan yang serba agresif, jeriji hadapan yang unik, serta tirai udara menegak, diikuti bampar hadapan yang lebih sporti dengan aksen merah dan lampu kabus yang tersembunyi.

Rupa paras Pulse ini turut dipertingkatkan dengan pemasangan pelekat grafik pada bahagian sisi, lencana Abarth pada fender hadapan, perkataan ABARTH pada pintu tailgate, rim hitam berkilat dengan aksen merah di tengah, sistem ekzos dengan tip berkembar serta diffuser palsu di bahagian belakang.
 

Abarth


Fiat tidak mendedahkan spesifikasi trenkuasa yang bakal digunakan, namun mengesahkan Pulse Abarth bakal dilengkapi dengan sistem stereng yang lebih responsif, beserta teknologi dan inovasi yang relevan.

Model Pulse Abarth ini menurut Fiat, dibangunkan di Brazil dan akan dipasang di negara tersebut.

Berdasarkan penawaran, model Pulse standard didatangkan dengan enjin Firefly Flex 1.3 liter yang mampu menghasilkan 106 hp dan 134 Nm menggunakan bahan api ethanol, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau CVT.
 

Abarth


Pembeli juga boleh mendapatkan varian 1.0 liter turbo yang menghasilkan 128 hp dan 200 Nm yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.4 saat sahaja.

Spesifikasi yang lebih terperinci dijangka akan didedahkan pada bulan hadapan.