Ferruccio Lamborghini, dari mekanik kepada pengeluar kereta sport!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ferruccio Lamborghini Auto Trattore
Ferruccio Lamborghini Auto Trattore
Satu perkara yang sering disebut tentang Lamborghini ialah bagaimana syarikat itu bermula dengan traktor dan kini sebagai pengeluar kereta eksotik ternama.

Selain kereta eksotik ada banyak kisah menarik mengenai pengasasnya, Ferruccio Lamborghini yang juga seorang mekanik mahir dan berpengalaman.

Satu lagi perkara menarik ialah Ferruccio Lamborghini sebenarnya telah lama menjual pegangan syarikat pada tahun 1973-1974 namun inspirasi dan legasi beliau masih dibawa sehingga ke hari ini.

Beliau mengasaskan Automobili Lamborghini pada tahun 1963.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Fabbrica Lamborghini Montaggio Miura

 

Perlu juga diketahui bahawa Ferruccio Lamborghini sepanjang hayatnya mempunyai beberapa syarikat seperti pengeluar traktor, kereta, penyaman udara dan injap hidraulik.

Berikut kami ringkaskan latar belakang menarik mengenai Ferruccio Lamborghini:

Kelahiran dan ladang keluarga

Ferruccio Lamborghini dilahirkan pada 28 April 1916 di Renazzo, Cento, Itali. Beliau merupakan anak sulung peladang iaitu Antonio dan Evelina Lamborghini dan merupakan pewaris ladang milik keluarga.

Beliau bagaimanapun lebih tertarik di dalam bidang mekanik berbanding perladangan. Sejak dari usia muda lagi beliau lebih suka untuk menghabiskan waktu tengah hari di bengkel ladang.

 

Lamborghini Espada

 

Kerja di bengkel dan Perang Dunia Kedua

Walaupun dalam usia muda, beliau diambil kerja oleh bengkel mekanikal terbaik di Bologna dan di situ beliau berjaya mendapatkan segala rahsia sebagai mekanik.

Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, beliau yang ketika itu sudah pun berpengalaman sebagai seorang mekanik dihantar ke kem di Pulau Rhodes (kini di bawah Greece).

Kem itu bertanggung jawab untuk penyelenggaraan kesemua kenderaan ketenteraan termasuk lori diesel dan traktor yang digunakan bagi menunda kapal terbang.

Di situ beliau berjaya (tidak berjaya pun ada) membaiki kenderaan yang dimiliki oleh Itali, Jerman dan Britain.

Selepas perang tamat, beliau menubuhkan syarikatnya yang pertama iaitu sebuah kedai pembaikan mekanikal kecil di pulau itu.

 

Miura Oro Metallizzato

 

Pulang ke Itali dan sejarah kereta sendiri bermula

Pada tahun 1946 Ferrucio Lamborghini pulang ke Itali dan mengambil peluang dari insentif yang disediakan bagi pemulihan ekonomi.

Beliau membuka sebuah kedai pembaikan kenderaan bermotor dan membangunkan kenderaan utiliti kecil di Cento.

Dari situ beliau memerhati masalah yang dihadapi oleh pertanian tempatan dan seterusnya adalah satu lagi sejarah.

Beliau memikirkan kembali tentang traktor yang dibaikinya di Rhodes dan tercetus satu idea untuk membangunkan traktor pertanian yang tidak mahal dan boleh dimiliki oleh pemilik kecil tanah pertanian dengan komponen dari kenderaan ketenteraan lama.

 

Lamborghini 350 GT 1

 

Kenderaan pertama yang diubahsuai dan disiapkan ialah lori Morris dan dilengkapi pengewap (fuel vaporizer) yang direka sendiri oleh beliau.

Kenderaan yang diperkenalkan pada tahun 1948 itu berjaya dijual sebanyak 11 unit.

Rentetan dari kejayaan tersebut mendorong Ferrucio Lamborghini untuk menggadaikan apa yang beliau miliki termasuk ladang milik keluarga (dengan kebenaran bapa beliau) bagi membeli sejumlah enjin Morris.

Lahirnya Automobili Lamborghini, keras seperti lembu!

Pada tahun 1963, Ferrucio Lamborghini yang pada masa itu telah berjaya menjadi satu daripada pengusaha industri penting di Itali melakar satu lagi sejarah hebat.

Beliau mahu membangunkan kereta grand touring paling hebat di dunia.

Pada tahun-tahun sebelumnya beliau telah memiliki banyak buah kereta buatan Itali dan ditambah pula dengan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang kenderaan menjadikan beliau sangat berkeyakinan.

Di sini juga tercetusnya peristiwa penting yang sering disebut tentang kelahiran kenderaan Lamborghini.

 

Miura S Azzurro Mexico

 

Apa pun, semasa mahu membangunkan kereta sendiri beliau memerlukan satu logo yang sesuai untuk karakter model GT tersebut.

Traktor Lamborghini pada masa itu hanya menggunakan logo ringkas berwarna perak dengan bentuk tiga segi dan tulisan FLC iaitu Ferruccio Lamborghini Cento.

Beliau menghubungi pereka grafik tempatan terkenal iaitu Paolo Rambaldi yang kemudian bertanya tentang karakter peribadi yang dimilikinya.

Ferruccio Lamborghini menjawab; "Saya adalah tamugno seperti lembu." (di dalam bahasa Itali bermaksud keras, kuat dan degil seperti lembu/bull).

Dengan gabungan tanda zodiak, dari situ logo Automobili Lamborghini dicipta.

Lama tinggalkan Lamborghini, legasi kekal

 

Lamborghini Countach LP 500 1

 

Pemilikan Ferrucio Lamborghini di dalam Automobili Lamborghini sebenarnya tidak lama.

Pada peringkat pertama beliau melepaskan 51 peratus pegangan saham dan masih lagi bersama syarikat tersebut di Sant'Agata.

Peringkat kedua ialah menjelang tahun 1974 apabila beliau melepaskan terus kesemua pegangan di dalam syarikat.

Kenapa jual pegangan? Masalah kewangan kumpulan perniagaan beliau dan juga krisis minyak.

 

Lamborghini Countach

 

Ferrucio Lamborghini kemudian meneruskan beberapa perniagaan lain. Beliau meninggal dunia pada 20 Februari 1993.

Banyak sebenarnya model ikonik Lamborghini untuk dijadikan contoh di antaranya ialah Countach yang berada di pasaran selama 17 tahun dan dikeluarkan sebanyak 1999 unit.

Pada masa kini, SUV Urus berjaya meningkatkan jualan sehingga mencatatkan rekod tertinggi di dalam sejarah syarikat. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Urus

 

Berita Berkenaan

Informasi
  1. Ferruccio Lamborghini Pengasas Lamborghini adalah seorang yang bijak. Beliau mengeluarkan…