Ferrari tiada hak pakai nama Purosangue

oleh Mohamad Hanif|
Ferrari mengumumkan projek crossover SUV pertama mereka pada tahun 2018 dengan satu nama Itali yang cukup aneh pada sebutan kita - Purosangue - yang membawa maksud baka tulen.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pemilihan nama tersebut menggambarkan bahawa crossover tersebut bakal membawakan elemen-elemen tulen yang ada pada sebuah Ferrari, sesuai dengan imej Prancing Horse pada logo mereka. 

Namun, satu masalah timbul apabila nama Purosangue itu sebenarnya sudah pun digunakan oleh organisasi anti dadah - Purosangue Foundation - yang telah pun beroperasi sejak tahun 2011 lagi. 

Organisasi Purosangue Foundation pula bukan calang-calang, mereka bekerjasama dengan Adidas bagi menghasilkan pelbagai jenis produk sukan daripada beg sehinggalah kepada kasut sukan. 

Walaupun terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak, namun ia tidak mendatangkan hasil yang dikehendaki dan permohonan Ferrari untuk  mendaftar hak intelek di Eropah kemudian dihalang. 
 


Ini memaksa Ferrari untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Purosangue Foundation dengan mendakwa nama tersebut tidak digunakan oleh organisasi tersebut secara kerap dalam masa lima tahun kebelakangan ini. 

Peguam Purosangue Foundation Alessandro Masetti menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan pihaknya banyak melakukan aktiviti termasuklah bekerjasama dengan Adidas seperti yang disebutkan di atas. 

Max Monteforte, pengasas organisasi tersebut ternyata sangat marah dengan perkembangan tersebut dan menyatakan, "kenapa kami perlu menyerahkan identiti kami kepada Ferrari?"

Kes ini akan diperdengarkan di mahkamah Bologna pada 5 Mac nanti. 

Sumber: Financial Times