Ferrari SF90 XX Stradale, Spider debut, 1016 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Ferrari akhirnya mengumumkan ketibaan model supercar SF90 XX yang jauh lebih buas dan agresif, serta dikhususkan untuk kegunaan litar, atau dipandu seperti biasa di atas jalan raya umum.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Rekaan luaran SF90 XX nampaknya kini lebih agresif berbanding model standard SF90 Stradale, di mana bukaan liang udara hadapan kini lebih besar untuk menyalurkan udara ke bahagian bawah badan.
 

SF90 XX


Ferrari turut menitikberatkan elemen aerodinamik seperti liang udara pada fender, sepasang liang tambahan pada hud hadapan, diikuti dengan sayap kekal di bahagian belakang.

Secara keseluruhan, kemas kini pada bahagian luar membolehkannya menjana daya mendap seberat 530 kg pada kelajuan 250 km/j.
 

SF90 XX


Selain daripada model Stradale, Ferrari turut menghasilkan model SF90 XX Spider dengan spesifikasi mekanikal yang sama, melainkan dengan mekanisme bumbung yang boleh dibuka dalam masa 14 saat.

Sesuai dengan kehadiran nama XX, Ferrari SF90 XX menampilkan peningkatan kuasa, di mana nadi 4.0 liter bentangan V8 turbo berkembar hibrid itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 1,016 hp, berbanding 986 hp pada model SF90 Stradale standard.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 2.3 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 320 km/j.
 

SF90 XX


Enjin V8 tersebut menampilkan komponen baharu seperti piston, kebuk pembakaran yang disemak semula dengan permesinan spesifik, serta bahagian inlet dan port ekzos yang telah digilap semula.

Dengan naik taraf tersebut, enjin itu sahaja berupaya menghasilkan kuasa 786 hp, berbanding 769 hp pada model terdahulu.

Naik taraf turut diberikan pada motor elektrik, di mana ia kini berkuasa 229 hp (berbanding 217 hp).

Kapasiti bateri masih lagi kekal 7.9 kWh yang membolehkan Ferrari SF90 XX ini berjalan tanpa setitik minyak sejauh 25 km (kelajuan maksimum 135 km/j).
 

SF90 XX


Untuk kegunaan di dalam litar, Ferrari SF90 XX mempunyai mod pemanduan Qualifying, di mana fungsi Extra Boost mampu menambah kuasa tambahan 30 hp bagi memendekkan masa pusingan di Litar Fiorano sebanyak 0.25 saat.

Kotak gear klac berkembar 8 nisbah kelajuan masih lagi dikekalkan, namun perisian telah disemak semula bagi menambah runut bunyi sewaktu penukaran gear dibuat.

Aspek pemberhentian SF90 XX dipertingkatkan sistem penyejukan yang lebih berkesan untuk angkup brek hadapan, sementara rotor belakang bertambah saiznya kepada 390 mm.
 

SF90 XX


Sistem kawalan ABS EVO akan berganding dengan penderia 6W-CDS untuk menganggarkan kelajuan kenderaan, sekaligus mengira tahap pengagihan daya brek yang bersesuaian.

Untuk makluman, Ferrari hanya akan menghasilkan kira-kira 799 unit SF90 XX Stradale, dan 599 unit SF90 XX Spider.