Isu Litar Pintas Boleh Menjejaskan Prestasi Brek
Menurut notis yang dikeluarkan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), masalah berpunca daripada susun atur bekalan kuasa pada kotak fius yang terletak berhampiran perehat kaki penumpang. Keadaan ini berpotensi menyebabkan litar pintas.

Jika berlaku, ia boleh mengaktifkan lampu amaran brek atau mengurangkan keupayaan membrek. NHTSA memberi amaran bahawa pengabaian amaran tersebut boleh mengakibatkan pemandu gagal menghentikan kenderaan dalam situasi kecemasan.
541 Unit Terjejas, Semua Dikesan Bermasalah
Sebanyak 541 unit Ferrari Purosangue keluaran 2023 hingga 2025 dipanggil semula. Berbeza dengan panggilan semula kenderaan lain yang biasanya hanya menjejaskan sebahagian kecil unit, Ferrari menganggarkan 100% daripada kenderaan terbabit mempunyai isu tersebut.
Dengan harga pasaran sekitar USD434,000 (lebih RM2 juta) seunit, Purosangue merupakan SUV mewah empat pintu pertama keluaran Ferrari yang dilancarkan pada 2022.
Pembaikan Melibatkan Spacer Plastik
Ferrari menjelaskan bahawa penyelesaian kepada masalah ini agak mudah. Pemilik hanya perlu membawa kenderaan ke pusat servis bertauliah untuk pemasangan pelapik plastik (plastic spacer) di antara perehat kaki dan kotak fius, yang dijangka mampu mengelakkan berlakunya litar pintas.
Semua kerja pembaikan akan dilakukan secara percuma tanpa sebarang caj kepada pemilik.
Notis Kepada Pemilik Menjelang September
Ferrari memaklumkan pihaknya akan menghantar surat pemberitahuan rasmi kepada pemilik Purosangue terbabit selewat-lewatnya September ini. Sebagai langkah segera, pemilik juga boleh menyemak status kenderaan mereka melalui alat carian VIN yang disediakan oleh NHTSA.