Ferrari Portofino M 2021 kini rasmi di Malaysia - bermula dari RM998,000

oleh Mohamad Hanif|
Naza Italia selaku pengimport dan pengedar rasmi supercar Ferrari di Malaysia telah melancarkan secara rasmi model terbaharu Ferrari Portofino M 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

M merujuk kepada 'Modificata' - terma yang digunakan oleh Ferrari yang merujuk kepada perubahan yang telah dibuat terhadap sesebuah model Ferrari.
 

FM


Ferrari Portofino M dikuasakan oleh enjin 3,855 cc bentangan V8 turbo yang berupaya menghasilkan kuasa setinggi 612 hp dan daya kilas 760 Nm, atau 20 hp lebih tinggi berbanding model Portofino.

Enjin V8 ini turut diubah suai dengan penggunaan profil cam baharu, penderia kelajuan pada unit pengecas turbo, serta Gasoline Particulate Filter (GPF) yang telah ditambah pada sistem ekzos demi memastikan model Ferrari ini tetap mematuhi piawaian emisi Euro 6D yang ketat itu.

Nadi yang berkuasa ini kemudian dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan yang lebih cekap, mampu menghantar 35 peratus lebih daya kilas dan dalam masa yang sama 20 peratus lebih kompak.

Disebabkan unit kawalan yang lebih cekap itu juga, pemanduan jentera ini menjadi lebih mudah dan lancar di dalam kawasan urban, dibantu dengan ciri Start & Stop.
 

FM


Segala sisa pembakaran disalur keluar menerusi sistem perpaipan yang kini tidak lagi mempunyai unit peredam berkembar, namun dibantu dengan injap by-pass yang direka untuk mengurangkan tekanan berbalik dan dalam masa yang sama mampu menjadikan runut bunyi yang terhasil lebih garang.

Kawalan dinamik pemanduan Ferrari Portofino M dibantu oleh Side Slip Control (SSC) generasi keenam yang mengintegrasikan ciri seperti E-Diff, F1-TCS, SCM-E Frs dan Ferrari Dynamic Enhancer (FDE).

FDE merupakan sistem kawalan dinamik lateral yang menggunakan perisian untuk menetapkan tekanan hidraulik brek pada keempat-empat tayar dan boleh diakses bila mana posisi Manettino terletak di mod Race.
 

FM


Ia direka untuk memastikan dinamik sisi kenderaan lebih mudah untuk dijangka dengan memastikan roda stereng dan pendikit yang lebih intuitif untuk kegunaan pemandu.

Selain daripada itu, Ferrari Portofino M juga turut menampilkan kawalan tekanan pedal brek yang digandingkan dengan pengurangan jarak pergerakan sekitar 10 peratus untuk kawalan yang lebih jitu dan respons yang lebih cepat ketika fasa brek.

Selain Race, empat lagi posisi Manettino yang boleh dipilih adalah Wet, Comfort, Sport, dan juga ESC Off yang mematikan fungsi VDC dan F1-TCS.
 

FM


Dari segi rekaan, Ferrari Portofino M 2021 masih menampilkan reka bentuk agresif tipikal Ferrari, dimulakan dengan bukaan udara yang besar, liang udara baharu pada arka roda untuk mengurangkan kesan seretan aerodinamik dan penggunaan slat aluminium baharu pada bahagian gril hadapan.

Seperti yang disebutkan tadi, rekaan ekzos kini tidak menampilkan unit peredam menjadikan bahagian ekor Portofino M menjadi lebih kompak, rekaan bampar yang lebih diarus-perdanakan, serta rekaan diffuser belakang yang kini diasingkan daripada komponen bampar.

Rekaan ruang kabin pula menampilkan roda stereng dengan pelbagai jenis gugusan butang fungsi termasuk dial Manettino, meter putaran enjin yang diapit dua skrin TFT, serta skrin tengah bersaiz 10.25 inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
 

FM


Ferrari Portofino M turut ditawarkan dengan ciri bantuan pemandu (ADAS) seperti kawalan jelajah adaptif, sistem brek kecemasan, sistem pemantuan titik buta, amaran keluar laluan, bantuan suluhan tinggi, pengesan papan tanda trafik, paparan keliling 3D, serta amaran lintasan trafik belakang.

Harga jualan Ferrari Portofino M 2021 bermula dari RM998,000 tidak termasuk opsyen, cukai yang berkaitan serta insurans.

Naza Italia turut menawarkan pakej penyelenggaraan selama tujuh tahun yang turut ditawarkan pada model-model pra-milik Ferrari, di mana penyelenggaraan berkala dibuat pada setiap 20,000 km atau setahun sekali tanpa had perbatuan oleh kakitangan yang dilatih secara terus di Ferrari Training Centre di Maranello.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut disahkan menerusi satu siaran media yang dikeluarkan baru-baru ini. Difahamkan,…
Pelancaran
Grecale GT merupakan salah satu dari 3 versi Grecale yang ditawarkan oleh Maserati dimana versi GT…
Pelancaran
Ia membawakan trenkuasa yang terdiri daripada enjin turbo bersesaran 1,995 cc yang dipadankan…