Ferrari Omologata - model one-off berdasarkan 812 Superfast

oleh Mohamad Hanif|
Ferrari baru-baru ini mendedahkan sebuah lagi model arca seni one-off (model binaan khas yang kesepuluh) yang menggunakan platform enjin hadapan V12 selepas model P540 Superfast Aperta (2009), iaitu Ferrari Omologata.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hasil kerja yang unik ini dibangunkan menggunakan asas daripada Ferrari 812 Superfast, namun apa yang tidak berubah hanyalah cermin hadapan serta unit lampu utama hadapan.

Antara perubahan yang dibawakan adalah gril hadapan rekaan baharu, seksyen arca roda hadapan, cermin belakang yang digantikan dengan tiga sirip melintang, set lampu belakang tunggal, spoiler belakang dan juga diffuser belakang yang cukup besar.

 


Memasuki ruang kabin, pemilik akan disambut dengan kehadiran elemen biru yang terdapat pada tempat duduk, upholsteri kombinasi kulit dan fabrik Jeans Aunde, racing harnesses empat poin serta kemasan kabin berwarna hitam penuh.

Beberapa rujukan terhadap model-model perlumbaan Ferrari turut diperlihatkan, seperti contoh layangan efek cat crackled yang dikaitkan dengan pelumba GT era 1950-an dan 1960-an, serta efek cat hammered pada pemegang pintu dan 'jambatan' Ferrari F1 yang mengingatkan kita kepada 250 LM dan 250 GTO.

 


Segala perubahan tersebut diakhiri dengan layangan warna tiga lapis Rosso Magma yang dilengkapi dengan elemen gentian karbon dan bayangan merah yang dibangunkan serba baharu untuk liveri kereta pantas ini.

Menurut Ferrari, model one-off Omologata ini dihasilkan untuk seorang pelanggan di Eropah yang tidak dinamakan, dan mengambil masa lebih daripada dua tahun untuk disiapkan.

 


Tiada sebarang spesifikasi enjin didedahkan, namun model asas 812 Superfast sudah pun hadir dengan enjin yang berkuasa, iaitu enjin bentangan V12 6.5 liter aspirasi natural yang menghasilkan 800 PS dan 718 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi klac berkembar automatik tujuh kelajuan, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dan kelajuan maksimum 340 km/j.