
Apa lagi yang ingin dicapai Fernando? Pelumba berusia 38 tahun itu dan Toyota GAZOO Racing bakal berganding bahu di dalam ujian Toyota Hilux, pikap yang dijangka digunakan pada perlumbaan rali Dakar tahun depan.
Dalam tempoh lima bulan akan datang Fernando bakal bekerjasama dengan Toyota GAZOO Racing dan pasukan rali Dakar di bawah penala tersebut bagi mengikuti program latihan intensif menggunakan Toyota Hilux di serata Eropah, Afrika dan Timur Tengah bagi membiasakan diri di dalam perlumbaan rali jarak jauh.
Fernando yang juga juara dua kali Le Mans 24 jam akan mengasah skil pemanduan off-road yang diketahui sangat berbeza dengan perlumbaan di litar dan penuh dengan cabaran.
Mengikut perancangan, Fernando akan membuat ujian di padang pasir di Selatan Afrika pada bulan Ogos dan seterusnya merasai perlumbaan Harrismith 400 di Selatan Afrika pada pertengahan bulan September.
Kenderaan buatan Toyota adalah pilihan popular dengan lebih satu perempat pemandu persendirian dan pasukan tajaan penuh (works team) berada di dalam senarai kategori kereta pada rali Dakar 2019.
Suatu yang manis apabila Toyota Hilux cemerlang di tangan Nasser Al-Attiyah, pelumba rali terkenal daripada Qatar yang mewakili pasukan Toyota GAZOO Racing memenangi kejuaraaan keseluruhan rali Dakar pada awal tahun ini.
Rali Dakar adalah perlumbaan ulung di dalam sukan permotoran dan pertama kali dianjurkan pada tahun 1978. Siri 2019 dianjurkan di Amerika Latin dan akan berpindah ke Arab Saudi pada tahun 2020.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
