Laluan sepanjang 24.4 km itu bakal melengkapkan jajaran utama Lebuhraya SUKE yang bermula dari Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang, dengan anggaran masa sekitar 25 minit, atau penjimatan masa sehingga 50 minit berbanding 75 minit menggunakan laluan sedia ada.
Selain menghubungkan laluan trafik dari Klang, Shah Alam dan Sungai Besi melalui Bandar Tasik Selatan, Alam Damai ke Persimpangan Cheras-Kajang, Fasa 2 SUKE juga dijangka membantu mengurangkan kadar kesesakan trafik di sepanjang MRR2.
Prolintas menjangkakan Lebuhraya SUKE mampu menampung separuh daripada kapasiti trafik harian MRR2, ini kerana buat masa ini purata trafik yang menggunakan laluan sedia ada (SUKE Fasa 1) adalah sekitar 60,000 hingga 70,000 kenderaan sehari.
Dengan pembukaan Fasa 2 SUKE, ia akan turut menyediakan akses kepada lebuh raya utama seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, serta Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA).
Sehingga 25 Mei 2023, Projek Lebuhraya SUKE telah mencapai kadar kemajuan 99.36 peratus.
Fasa 3 SUKE melibatkan pembinaan Persimpangan Alam Damai, dan ia dijangka akan dibuka menjelang suku ketiga tahun ini.
Enam kejuruteraan unik Lebuhraya SUKE:
1. Tanjakan helikoidal pertama di Malaysia
2. Struktur jejambat lebuhraya tertinggi (SBG) setinggi 56.4 meter (bersamaan bangunan 15 tingkat)
3. Struktur bercabang atas Sungai Ampang membenarkan cahaya matahari sampai ke hidupan akuatik, selain turut menempatkan trek jogging/pejalan kaki sepanjang 1.2 km
4. Struktur lebuh raya bertingkat (tiga tingkat) dibina di Alam Damai bagi mengelakkan pengambilan balik tanah kawasan kediaman dan bentuk muka bumi sedia ada.
5. Struktur bercabang dari Persimpangan Sri Petaling ke Desa Tun Razak bagi menghubungkan infrastruktur sedia ada (KESAS, BESRAYA, KL-Seremban, MRR2).
6. Struktur laluan utama dua tingkat sepanjang 500 meter bagi kedua-dua jajaran bermula dari susur keluar Jalan Ampang ke arah Permai sebelum struktur berpecah di atas Sungai Ampang.
Baca: Fakta menarik berkenaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang