Fakta Rawak: Sejarah SUV Mazda Bahagian 1 (Dari Burma hingga AS)

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mazda Pathfinder
Mazda Pathfinder
Sukar hendak dinafikan bahawa kenderaan utiliti sukan (SUV) merupakan pilihan popular di kalangan pengguna sekarang ini. Kanan, kiri, depan dan belakang begitu mudah untuk menemui SUV di jalan raya. 

Apa yang menyebabkan SUV begitu popular? Praktikaliti, harga, reka bentuk dan keadaan persekitaran yang mencetus minat pada kenderaan ini.

Satu dari jenama popular apabila bercakap tentang SUV ialah Mazda. Jenama dari Hiroshima ini sudah lama menawarkan SUV dan benar-benar melonjak naik melalui CX-5.

Bagi mengenali lebih dekat kami bawakan kepada anda sejarah awal SUV keluaran Mazda.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mazda Pathfinder XV-1 - Direka di Hiroshima, dipasang di Burma

 

Mazda Pathfinder

 

Model 4x4 pertama Mazda yang setara pada zaman Toyota Land Cruiser dan Land Rover. Pada masa ini, 4x4 lebih kepada kenderaan kerja dan karakter utilitarian. 

Pathfinder direka di Hiroshima, Jepun dan dipasang secara eksklusif serta dijual di Burma dari tahun 1970 dan 1973.

Pathfinder popular sebagai kenderaan tentera dan polis. Ia digerakkan enjin berkuasa 90ps dan ditawarkan dalam versi bumbung kanvas atau sembilan kerusi dan bertutup.

Model ini tidak berapa dikenali di peringkat global dan walaupun begitu masih boleh ditemui (tidak banyak) di Myanmar.

 

Mazda Proceed Marvie - Juga dikenali sebagai Ford Raider

 

Mazda Marvie 1991

 

Model ini dibangunkan dari pikap siri B generasi keempat. Dilancarkan pada tahun 1991 dan mempunyai tiga baris tempat duduk dan hanya dikeluarkan dalam pemanduan sebelah kanan.

Proceed Marvie hanya dijual di beberapa pasaran seperti Jepun dan Asia manakala di Australia SUV ini dijenamakan sebagai Ford Raider.

 

Mazda Navajo - Asalnya Ford Explorer Sport

 

Mazda Navajo

 

Model ini dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1991. Navajo dijenamakan dari Ford Explorer Sport dan dipasang di Kentucky.

Model ini dijual secara eksklusif di AS dan tampil sebagai SUV pacuan empat roda dua pintu. Ia dibezakan dengan Ford melalui gril, roda dan lampu utama.

Navajo digerakkan enjin petrol 4.0 liter V6 dengan pilihan transmisi empat kelajuan automatik atau lima kelajuan manual. Pengeluaran Navajo dihentikan pada tahun 1994.

Mazda Proceed Levante - Suzuki Escudo yang dijenamakan semula

Perjanjian pembekalan OEM di antara dua syarikat menyaksikan Suzuki Escudo dijenamakan sebagai Mazda Proceed Levante di Jepun pada lewat 90an. Tidak lama selepas itu Mazda memperkenalkan Tribute, sebuah SUV yang popular.

 

Mazda Tribute

 

Mazda Tribute

 

Ini adalah SUV gayaan moden pertama Mazda. Tribute dibangunkan secara bersama dengan pemegang saham syarikat iaitu Ford.

SUV ini diasaskan dari platform Mazda 626 dan turut menjadi asas kepada Ford Escape atau Maverick di Eropah.

Kedua-dua model dipertonton kepada awam pada tahun 2000 dengan Tribute didedahkan di Pameran Kenderaan Los Angeles.

Tribute pasaran AS dikeluarkan bersama-sama Ford Escape di Missouri dan turut dipasang di Hiroshima.

Tribute pasaran United Kingdom memiliki suspensi lebih sporti dan keras (firm) berbanding Ford. Tribute juga mencatat sejarah sebagai SUV Mazda pertama di UK.

Dilancarkan pada 2001, SUV ini mempunyai pilihan enjin petrol 2.0 liter 123bhp atau petrol 3.0 liter V6 berkuasa 196bhp.

 

Mazda Tribute 2004

 

Pada tahun 2002, jualan Tribute di UK berjumlah 881 unit dan mewakili tiga peratus jualan Mazda di negara itu. Jualan Tribute di UK ditamatkan pada penghujung tahun 2004.

Di pasaran global lain dan di AS, generasi kedua Tribute dilancarkan pada tahun 2007 dan menariknya pada tahun yang sama Mazda turut memperkenalkan model istimewa iaitu CX-9.

Pada masa itu, Mazda melangkah ke dalam segmen premium dan berterusan sehingga hari ini.

Nantikan bahagian dua!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mazda  CX9

 

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
  Sifirnya bukan rahsia iaitu rekaan yang menyerlah dan tidak bergantung secara mutlak kepada…
Berita Global
Ia memiliki sifat yang ringan dan kuat dalam masa yang sama, namun harus diingat gentian karbon…
Telah Diuji
Kalau diikutkan sejak CX-5 generasi kedua ini mula dilancarkan pada tahun 2017, sudah enam kali…