Faizmee Erzet - anak Sabah yang tabah dihina untuk hidupkan aplikasi Beego miliknya

oleh HEZERI SAMSURI|
Khidmat penghantaran barang atas talian adalah antara perkhidmatan yang paling cepat berkembang.

Apa lagi di kala adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini yang sedang berlangsung, dan paling baik ialah kita tidak keluar dari rumah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perkhidmatan penghantaran ini terus menjadi popular dan antara jenama-jenama antarabangsa itu, wujud satu aplikasi baharu yang diberi nama Beego dan ia adalah hasil anak tempatan kita sendiri.

Namson Yee Liong, atau nama Islamnya, Mohd Faizmee Erzet Liong baru berusia 24 tahun dan berasal dari pekan kecil di kawasan Tawau, Kunak. Ayahnya bekerja sebagai seorang "runner" untuk urusan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sementara ibunya ialah seorang suri rumah.

Faizmee mendapat pendidikannya di SMK Kunak, Sabah dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim dalam kursus Diploma Game and Design.

Kini, Faizmee masih belajar di Institut Pendidikan Guru Bahasa Antarabangsa di Lembah Pantai dalam kusus Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni.

 

 

Bakal guru ini mendapat idea untuk menghasilkan aplikasi Beego semasa menjadi tenaga penghantar (rider) selama tiga tahun dengan syarikat-syarikat penghantaran global di Malaysia.

Pada ketika itu, Faizmee terfikir untuk mencipta aplikasi perkhidmatan penghantarannya sendiri dan juga untuk menyahut cabaran negara untuk mewujudkan perniagaan berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Dalam tahun 2018, Faizmee menggunakan duit simpanan beliau untuk memulakan Beego.

Namun begitu, modalnya sangat besar dan bapa Faizmee mengambil keputusan untuk menggunakan duit dari KWSP beliau untuk membantu Faizmee.

Anak tunggal Sabah ini menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk menghasilkan aplikasi Beego. 

"Saya nekad dan meminta bantuan serta membayar rakan-rakan di UPSI dan rakan-rakan kenalan saya untuk menghasilkan aplikasi ini kerana tidak mungkin saya mampu lakukan seorang diri. Alhamdulillah, apa yang kami pelajari di sana memang sangat membantu," ujarnya.

Namun cabaran itu tidak terhenti di situ sahaja.

"Pada mula Beego dilancarkan dalam tahun 2018, kami hanya menggunakan Facebook untuk memasarkan perkhidmatan kami dan tempahan dilakukan menggunakan Whatsapp," sambung Faizmee.

"Saya yang lakukan sendiri penghantaran tersebut dan kemudian diikuti oleh beberapa rakan-rakan yang juga mahu mencari duit poket."

Setelah aplikasi itu siap dalam tahun 2019, Faizmee terpaksa akur dengan masalah seterusnya - modal yang tinggi untuk menghasilkan strategi pemasaran yang baik.

"Untuk memasarkan perkhidmatan Beego, saya memang memerlukan sejumlah wang yang besar. Saya puas berjumpa dengan beberapa agensi kerajaan untuk meminta geran atau pinjaman tetapi jawapan yang diterima tetap sama - syarikat saya terlalu baharu," kata Faizmee.

 

beego
Faizmee minta ibu jadi model poster kerana mahu berjimat. Sporting sungguh ibu beliau!

 

"Saya tebalkan muka dan keluar sendiri bertemu dengan para pengguna untuk memperkenalkan perkhidmatan Beego ini. Bukan mudah. Saya diejek, dipandang remeh dan ada yang menghalau saya keluar dari kedai pun."

"Namun begitu, pesan ibubapa saya di kampung menjadi asas kekuatan saya. Doa mereka juga memang berkat dan saya teruskan juga memasarkan Beego dengan sendiri. Alhamdulillah, nyata ada peningkatan sekarang," terang Faizmee di dalam temubual dengan Careta melalui Whatsapp.

"Rakan-rakan dan rider-rider Beego yang lain pun sentiasa memberi perangsang untuk terus bersabar dan tabah dengan cabaran. Saya memang terharu dengan sokongan mereka."

Buat masa sekarang, Beego memberi perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta ia mempunyai perkhidmatan seramai 324 orang rider.

 

 

Beego memberikan perkhidmatan penghantaran untuk pelbagai jenis barang, seperti:

  • Makanan
  • Barangan runcit
  • Keperluan harian
  • Bunga
  • Hadiah
  • Alatganti kenderaan
  • Dan pelbagai barangan lain.

Slogan Beego ialah "We deliver anything, anytime, anywhere" atau "Kami menghantar apa-apa sahaja pada bila-bila masa dan di mana-mana."

Beego juga menyediakan perkhidmatan Buy2U di mana mereka akan membelikan barangan itu dahulu (di bawah RM100) dan terus menghantar ke alamat pembeli.

"Kami mahu membantu negara di dalam saat-saat genting ini. Biar anda duduk di rumah dan kami yang keluarkan dapatkan keperluan anda," ujar Faizmee.

Sehingga ke hari ini, beliau masih giat keluar untuk mencari rider-rider bagi memperkembangkan operasi beliau.

 

 

Syarat-syarat untuk menjadi rider Beego (sepenuh atau sambilan) ialah:

  • Perlu ada MyKad
  • Lesen kenderaan
  • Telefon pintar (Android/iPhone)
  • Kenderaan - kereta atau motosikal

Kepada yang berminat untuk menjadi rider Beego, boleh lawati pautan di bawah.

https://play.google.com/store/apps/details?id=com.databoost.beegoRider

Daftar dan anda boleh baca tutorial atas talian untuk menjadi rider.

Jadi, apakah yang bakal berlaku pada Beego dalam masa terdekat ini?

"Insya Allah, kami mahu mengembangkan sayap Beego ke seluruh Malaysia," jawab Faizmee.

Untuk yang mahu memuat-turun aplikasi Beego, ia ada di Google PlayStore pada pautan di bawah:

https://play.google.com/store/apps/details?id=com.databoost.beego

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada ikhtiar dan doa, Insya Allah akan dipermudahkan.

Tahniah Faizmee dari kami di Careta.my