F1 in Schools World Final - Malaysia Cemerlang di Pentas Dunia!

oleh Firdaus Razani|
Malaysia sekali lagi menunjukkan taringnya di pentas antarabangsa dalam acara Aramco F1 in Schools World Finals kali ini dengan membawa tiga pasukan hebat termasuk satu pasukan istimewa, Valour Special Project (Valour SP).

Aramco F1 in Schools World Finals yang diadakan di Dammam, Arab Saudi pada 22-28 November 2024 telah disertai oleh 55 pasukan daripada 24 buah negara, termasuk tiga pasukan dari Malaysia

Tiga pasukan yang mewakili Malaysia itu adalah Energeteen dari SMK Dato' Undang Musa Al-Haj, Negeri Sembilan; Kilau Lumba dari SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang; dan Valour SP yang merupakan gabungan murid daripada tiga Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya, Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Negeri Sembilan dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Perak.

 

f1

 

Sedikit info mengenai tiga pasukan ini, Energeteen merupakan juara bagi pertandingan F1 in Schools Peringkat Kebangsaan 2023/24.

Pasukan Kilau Lumba pula merupakan pasukan yang menerima Anugerah Kereta Terpantas pada pertandingan tersebut.

Pasukan Valour SP pula muncul hasil daripada usaha Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) bersama-sama F1 in Schools Malaysia yang ingin mencuba formula baharu gabungan beberapa pelajar yang direka khas dengan memilih murid-murid terbaik dari beberapa Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Malaysia.

 

f1

 

Ahli pasukan ini adalah gabungan murid dari Sekolah Sultan Alam Shah iaitu Muhammad Fauzan Bin Sulaiman,15; Adam Rayyan Bin Abdul Azim,15; Faris Aryan Bin Faizul, 15; dan Syed Shazryl Arief Bin Syed Atif, 15; dari Kolej Tunku Kurshiah iaitu Kasih Nurdeena Binti Badrul Zaman, 16 tahun; dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman Muhammad iaitu Amin Bin Mohd Hariz, 14 tahun; bersama guru pembimbing Cikgu Herlina binti Syafrudin dari SAS, Putrajaya.

Menurut Ketua Penyelaras F1 in Schools Malaysia, Mohd Nazrin Zulkifli, ketiga-tiga pasukan daripada Malaysia diberi modul latihan yang terbaik untuk memastikan mereka mampu bersaing di peringkat dunia.

Mereka juga bekerja keras menyiapkan portfolio penting seperti Engineering Portfolio, Scrutineering Portfolio, Project Management Port Folio dan Enterprising Portfolio semenjak awal Mei 2024 dengan bantuan pensyarah dari UiTM, UKM dan UTM.

 

f1

 

Kejayaan di Dammam, Saudi Arabia

Valour SP berjaya membawa pulang trofi Verbal Presentation Award, sekaligus mengenepikan pencabar sengit mereka iaitu pasukan daripada Amerika Syarikat dan Jerman.

Valour SP telah berjaya meyakinkan para juri bahawa pasukan mereka yang lebih layak dengan mempersembahkan pembentangan yang sangat menarik dan profesional.

 

f1

 

Ini merupakan satu penghormatan besar yang mengiktiraf kebolehan mereka dalam komunikasi dan penyampaian idea. Trofi tersebut adalah sumbangan daripada F1 Team Kick Sauber.

Dalam kategori perlumbaan pula Valour SP berjaya memecah dominasi 10 pasukan terpantas yang selalu didominasi oleh pasukan dari Jerman, UK, Australia dan Amerika Syarikat dengan catatan masa 1.107 saat.

 

f1

 

Manakala pasukan Kilau Lumba berjaya mencatat masa 1.133 saat untuk berada di tempat ke-26 dan pasukan Energeteen pula di tempat ke-35 dengan catatan masa 1.156 saat.

Menurut ketua juri reka bentuk dan kejuruteraan, Dr. Mohd Radzi Abu Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia, saban tahun semakin sengit untuk beliau dan rakan-rakan juri menentukan siapa yang layak merangkul Best Engineered Car Award kerana penyelidikan dan kualiti setiap pasukan semakin meningkat.

 

f1

 

Menurut beliau lagi, tahun ini pasukan dari Malaysia berjaya bersaing rapat dengan pencabar dari Jerman dan Australia dalam kategori reka bentuk dan kejuruteraan.

 

Pengalaman Eksklusif di Pit Lane Walk dan Paddock F1

Penyertaan pasukan Valour Special Project (Valour SP) di Aramco F1 in Schools World Finals bukan sahaja membawa mereka ke pentas antarabangsa, tetapi juga membuka peluang istimewa yang jarang dinikmati.

Dengan memenangi Verbal Presentation Award, pasukan ini diberi penghormatan untuk menyertai Pit Lane Walk dan melangkah masuk ke paddock Kick Sauber F1 Team serta paddock pasukan Mercedes AMG Petronas, dua nama besar dalam dunia Formula 1.

Pengalaman di pit lane membolehkan Valour SP melihat dengan lebih dekat operasi belakang tabir pasukan profesional Formula 1.

 

f1

 

Mereka menyaksikan bagaimana jurutera dan mekanik menggunakan teknologi terkini untuk menyediakan kereta sebelum perlumbaan.

Murid kagum dengan disiplin dan ketelitian setiap ahli pasukan, dari analisis data sehingga ke pelarasan akhir kereta lumba.

Pengalaman ke Pit Lane Walk dan paddock dua pasukan ikonik ini adalah pengalaman luar biasa yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknologi dan budaya Formula 1 tetapi juga memberi inspirasi kepada murid untuk terus mencipta kejayaan.

Semoga pengalaman ini menjadi pencetus kepada legasi kecemerlangan pasukan Malaysia di pentas dunia!