F1 Dijangka Batal GP Bahrain dan Arab Saudi Akibat Konflik Timur Tengah

oleh Qalif Latif|
Perlumbaan Formula 1 di Bahrain dan Arab Saudi yang dijadual berlangsung pada April 2026 dijangka dibatalkan susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Menurut laporan media antarabangsa, keputusan untuk membatalkan kedua-dua perlumbaan itu dijangka dimuktamadkan hujung minggu ini, sekali gus mengurangkan jumlah perlumbaan musim Formula 1 2026 daripada 24 kepada hanya 22 Grand Prix.

Perlumbaan di Bahrain pada asalnya dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 April sebagai pusingan keempat musim ini, sebelum F1 bergerak ke Jeddah untuk Grand Prix Arab Saudi pada 17 hingga 19 April.

Isu keselamatan jadi keutamaan

Formula 1 dan badan pentadbir sukan itu, FIA, meletakkan faktor keselamatan sebagai keutamaan utama dalam membuat keputusan tersebut.

Keadaan di Timur Tengah dilaporkan semakin tegang selepas beberapa negara Teluk, termasuk Bahrain dan Arab Saudi, terkesan dengan serangan berkaitan konflik antara Iran serta pakatan Amerika Syarikat–Israel di rantau itu.

Disebabkan situasi keselamatan yang tidak stabil, penganjur perlumbaan dan pihak berkuasa sukan permotoran antarabangsa dilaporkan melihat pembatalan sebagai langkah paling selamat buat masa ini.

Tiada perlumbaan sepanjang April

Sekiranya kedua-dua perlumbaan tersebut benar-benar dibatalkan dan tidak diganti dengan litar lain, jadual Formula 1 akan menyaksikan jurang panjang tanpa perlumbaan sepanjang April.

Ini bermakna terdapat tempoh kira-kira lima minggu tanpa aksi antara:

  • Grand Prix Jepun pada 27 hingga 29 Mac

  • Grand Prix Miami pada 1 hingga 3 Mei

Beberapa litar seperti Portimao di Portugal dan Imola di Itali dilaporkan pernah disebut sebagai kemungkinan pengganti, namun tempoh masa yang singkat menjadikan usaha menganjurkan perlumbaan dalam masa terdekat hampir mustahil.

F1 dan FIA belum keluarkan kenyataan rasmi

Setakat ini, Formula 1 dan FIA masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.

Namun sumber industri menjangkakan pengumuman rasmi mengenai pembatalan Grand Prix Bahrain dan Arab Saudi akan dibuat dalam masa terdekat.

Bahrain 2025
Perlumbaan F1 musim 2025 di Bahrain

 

Buat masa ini, kejuaraan dunia Formula 1 sedang berlangsung di Shanghai untuk Grand Prix China, dengan sesi Sprint dan kelayakan berlangsung hujung minggu ini sebelum perlumbaan utama pada Ahad.

Sumber: Skysport