Perkara tersebut disahkan oleh Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, yang menyatakan bahawa perubahan tersebut “pasti akan berlaku” sebagai sebahagian daripada evolusi seterusnya dalam peraturan teknikal sukan itu.
Menurut Ben Sulayem, hala tuju baharu itu bertujuan untuk mengurangkan kerumitan teknologi enjin semasa, yang kini menggunakan unit kuasa hibrid V6 turbo dengan pembahagian hampir 50:50 antara enjin pembakaran dalaman dan kuasa elektrik.
Walaupun sistem itu lebih efisien dan menggunakan bahan api lestari, ia turut menerima kritikan daripada pemandu dan peminat kerana terlalu kompleks.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk teknik “lift and coast” untuk menjimatkan tenaga serta perbezaan kelajuan yang boleh menjejaskan keselamatan perlumbaan.
Selain itu, elemen teknikal seperti “superclipping” dan pengurusan tenaga dalam megajoule menjadikan perlumbaan sukar difahami oleh penonton biasa.
Walaupun cadangan penggunaan enjin V10 pernah dibangkitkan, Ben Sulayem menjelaskan bahawa V8 adalah pilihan paling praktikal dan popular, selain masih relevan dengan teknologi kereta produksi.
Enjin V8 juga dijangka akan digabungkan dengan tahap elektrifikasi yang minimum serta penggunaan bahan api lestari, bagi memastikan keseimbangan antara prestasi, bunyi, dan kelestarian.
“Dengan V8, anda dapat bunyi yang lebih kuat, kurang kompleksiti dan berat yang lebih ringan,” jelas beliau.
Perubahan itu boleh dilaksanakan seawal 2030 sekiranya mendapat sokongan majoriti besar daripada pengeluar enjin (Power Unit Manufacturers).
Namun, jika tidak mencapai persetujuan, FIA masih mempunyai kuasa untuk melaksanakan perubahan tersebut secara mandatori pada 2031 tanpa undian.
Sebagai rekod, Formula One pernah menggunakan enjin V8 dari tahun 2006 hingga 2013 sebelum beralih kepada enjin V6 hibrid 1.6 liter yang lebih senyap.
Peralihan semula ke V8 dijangka mengembalikan elemen emosi yang semakin hilang terutamanya dari segi bunyi enjin yang lebih lantang dan karakter perlumbaan yang lebih “raw”.
Sumber: Reuters