Ini kerana disebalik rupa paras Porsche yang amat klasik itu, tersembunyi trenkuasa yang mampu untuk memalukan mana-mana kereta yang cuba mencabar kejantanannya di persimpangan lampu isyarat.

Modifikasi ini dilakukan oleh Everrati, di mana ia merupakan model Cabriolet elektrik pertama yang diperkenalkan selepas projek conversion yang dibuat sebelum ini (911 Coupe dan 911 Targa).
Menurut Everrati, pemilik 964 Cabriolet ini boleh menukarkan kembali trenkuasa elektrik kepada enjin asal pada bila-bila masa dengan mudah.
Trenkuasa elektrik yang dimaksudkan itu terdiri daripada motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 440 hp atau 500 hp dengan daya kilas setinggi 500 Nm, serta pek bateri 62 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 322 km.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang, membolehkan 964 Cabriolet elektrik ini memecut dalam masa kurang 4 saat dari 0-96 km/j.
Proses penukaran trenkuasa itu turut mengambil kira karakteristik pengendalian asal Porsche 964, di mana pihak Everrati turut membuat pengiraan semula terhadap aspek pengagihan berat dan casis supaya ia lebih mirip kepada model 911 berenjin.
Untuk aspek pengendalian yang ditambah baik, pemilik boleh mendapatkan opsyen suspensi boleh laras penuh TracTive.

Everrati tidak mendedahkan kos sebenar modifikasi penukaran trenkuasa pada model 964 Cabriolet ini, namun sebagai rujukan, pakej modifikasi yang ditawarkan untuk model 964 Coupe elektrik bermula dari $260,000 hingga $325,000 (RM1.23 juta-RM1.53 juta) tidak termasuk kos kereta penderma.