EVE Energy bakal bangunkan fasiliti produksi bateri silinder di Malaysia

oleh Penyumbang Rencana 2|
Syarikat EVE Energy Malaysia Sdn Bhd akan membangunkan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan pelaburan bernilai US$422.3 juta (RM1.86 bilion), fasiliti itu dijangka mampu menyokong perusahaan pembuatan kenderaan elektrik dua roda dan peralatan kuasa di Malaysia dan Asia Tenggara. 

Menurut laporan Bernama, Pengarah Perwakilan EVE Energy Malaysia, Joe Chan berkata pengembangan itu adalah satu pencapaian penting bagi EVE untuk meningkatkan penguasaan pasaran globalnya dalam pasaran kenderaan roda dua elektrik dan peralatan dikuasakan oleh bateri.

Beliau berkata pewujudan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia akan membantu membekalkan bateri berkualiti tinggi kepada syarikat di negara ini dan Asia Tenggara.

Pada masa ini, EVE sedang menilai beberapa tapak untuk menempatkan kemudahan pembuatannya di Malaysia, termasuk beberapa lokasi berpotensi di Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) akan menjadi antara yang paling signifikan dalam sektor automotif di Malaysia.

“Ekosistem bateri litium silinder yang dibangunkan sepenuhnya adalah seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 dalam merangsangkan dan menyepadukan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara khususnya bagi pengeluaran bateri EV.

“Selain mempunyai bakat berkemahiran tinggi dan pakar teknologi, Malaysia sememangnya menjadi lokasi yang kondusif dan ideal untuk kejayaan pelaburan EVE,” katanya.

MIDA telah meluluskan 25 projek bernilai RM10.69 bilion dalam EV dan ekosistem berkaitannya dari 2020 hingga Jun 2022.

Arham berkata pelaburan yang diluluskan termasuk aktiviti pemasangan EV, pembuatan alat ganti dan komponen EV serta komponen pengecasan.

Sumber: Bernama