Euro NCAP 2020 alami perubahan terbesar - penilaian lebih ketat

oleh Mohamad Hanif|
Program ujian pelanggaran kenderaan baharu Euro NCAP bakal mengalami perubahan terbesar dalam masa 10 tahun dengan pengenalan beberapa penilaian baharu yang lebih ketat dan menyeluruh.

Terdapat lima poin utama yang ditekankan oleh Euro NCAP untuk ujian penilaian kenderaan baharu bermula tahun 2020 seperti berikut:
 

1. Mobile Progressive Deformable Barrier

Ciri Mobile Progressive Deformable Barrier (MPDB) akan digunakan dengan lebih ekstensif dalam menilai kerosakan yang terjadi ketika pelanggaran antara dua kenderaan.

Ini kerana di dalam pelanggaran dunia nyata, ada kalanya kenderaan yang lebih kecil tidak bernasib baik berlanggar dengan kereta yang lebih besar, dan perbezaan ini menyumbang kepada kondisi penumpang yang berbeza selepas insiden pelanggan terjadi.

Jadi, dengan ujian penilaian baharu ini, penghadang MPDB ini akan digerakkan dalam kelajuan 50 km/j untuk memberikan gambaran pelanggaran di dalam dunia sebenar.

Mana-mana kenderaan yang lebih besar akan dikenakan penalti sekiranya pelanggaran tersebut mendatangkan kerosakan yang tidak seimbang.

Menurut Matthew Avery, pengarah Thatcham Research berkata, "objektif pengenalan penilaian baharu ini adalah untuk menggalakkan kenderaan besar supaya  'berkongsi impak pelanggaran' dengan kenderaan yang lebih kecil.

"Sesetengah SUV dan kenderaan yang lebih besar menawarkan perlindungan yang baik terhadap penumpang, namun tidak kepada kenderaan kecil di dalam sesebuah insiden pelanggaran," tambah beliau lagi.
 

2.  Far Side - pelanggaran tepi sisi jauh


Ujian penilaian pelanggaran sisi juga kini diberikan penekanan yang lebih di mana Euro NCAP akan menggunakan patung dummy yang digelar sebagai THOR (Test device for Human Occupant Restraint) bagi menguji 'kelakuan' manusia di dalam sesebuah insiden pelanggaran sisi.

Ia juga boleh mengesan keberkesanan beg udara tengah yang diperkenalkan oleh beberapa pengeluar baru-baru ini, seperti Hyundai dan juga Honda.
 

3. Resque

Untuk pertama kalinya, Euro NCAP kini menggalakkan pengeluar untuk melengkapkan setiap kenderaan baharu dengan ciri panggilan kecemasan secara automatik ketika berlakunya insiden pelanggaran.

Ciri ini membolehkan petugas kecemasan mampu mengetahui keadaan pelanggaran terlebih dahulu sebelum memulakan tugas menyelamat.
 

4. Crash Avoidance


Semenjak tahun 2014, Euro NCAP telah menjalankan penilaian terhadap ciri brek kecemasan autonomi sesebuah kenderaan terhadap kenderaan, diikuti oleh pejalan kaki (2016) dan penunggang basikal (2018).

Untuk tahun 2020, Euro NCAP meningkatkan lagi tahap penilaian brek kecemasan autonomi dengan menambah dua lagi ciri untuk diuji iaitu AEB Car-to-Car Turn Across Path - ciri di mana keberkesanan AEB duji ketika memasuki simpang - serta AEB Pedestrian Reverse - perlindungan terhadap pejalan kaki ketika mengundurkan kenderaan.
 

5. Attention Assist


Ciri terakhir yang diberikan penekanan oleh Euro NCAP adalah sistem pemantauan tumpuan pemandu di mana teknologi pengesan tahap tumpuan pemandu yang mengantuk akan diuji dengan lebih terperinci untuk setiap kenderaan.

Sistem ini dinilai penting bagi membolehkan pemandu mengawal semula kenderaan selepas pelbagai ciri bantuan pemanduan digunakan seperti kawalan pelayaran adaptif dan bantuan kekal laluan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk melepasi ujian tersebut bukan mudah, namun dalam perkembangan terbaharu Euro NCAP bertegas…
Berita Global
ORA GOOD CAT dengan mudah berjaya mencapai penarafan Hijau 5 bintang dengan meraih purata skor…
Berita Global
Menjadi pendatang baharu dalam saingan EV sedan segmen D dan hatchback segmen C, kedua-dua Seal dan…