ESC wajib bermula Jun 2018

oleh Careta.my|
Kerajaan Malaysia menjadi antara negara membangun pertama yang bakal mewajibkan Electronic Stability Control atau Alat Pengawal Kestabilan Elektronik (ESC) pada semua kenderaan penumpang yang dijual di Malaysia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Shahrim Tamrin dari The Sun Daily melaporkan bahawa menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Malaysia juga adalah negara pertama di dalam rantau Asia Tenggara yang mewajibkan ESC untuk kenderaan penumpang baharu.

Keputusan tersebut dibuat hasil dari tekanan yang diberikan oleh Asean NCAP dan juga syarikat kenderaan yang menyokong tindakan tersebut.

Pada mulanya, pihak kerajaan hanya akan mewajibkan ESC pada tahun 2021, mengikut pelan rancangan UN/ECE namun ia kini dipercepatkan kepada bulan Jun, 2018.

Menurut perancangan, ESC diwajibkan bagi kenderaan model baharu ataupun kenderaan yang diperbaharui sepenuhnya yang diperkenalkan selepas 1 Jun 2018.

Untuk model kenderaan sedia ada ataupun yang sudah melalui fasa facelift/perubahan kecil (minor change), ia akan dikecualikan daripada penguatkuasaan sehingga tahun 2021.

Walaubagaimanapun hal ini tertakluk kepada pertimbangan Jawatankuasa National Comittee of Type Approval and Homologation.

Pematuhan kepada peraturan UNR13H masih boleh digunapakai sehingga UNR140 mula berkuatkuasa dijangka pada tahun 2020.

esc-mitsu

 

Liow berkata ESC mampu mengurangkan sebanyak 40 peratus kematian akibat hilang kawalan kenderaan.

“ESC juga mampu merendahkan risiko perlanggaran antara kenderaan ketika situasi kritikal,” tambah beliau ketika melawat program Stop The Crash Asean di litar Sepang.

“Kajian membuktikan ESC menurunkan risiko perlanggaran dan kerana itu pemasangan ESC mandatori dilakukan di negara-negara seperti di Eropah, Amerika Syarikat, Turki, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain lagi negara maju,” tambahnya.

Sistem ESC ialah lapan ke 14 kali ganda lebih baik dari sistem head-restraint (head-rest), 18 kali ganda lebih berkesan dari tali-pinggang keledar tengah dan 10 ke 28 kali ganda lebih baik dari beg udara canggih.

“Perlanggaran hadapan dan hilang kawalan kenderaan adalah sebab utama kemalangan dan kematian di jalanraya,” terang Liow.

 

 

Rekod polis tahun lalu menunjukan kemalangan akibat perlanggaran hadapan dan hilang kawalan menyumbang sebanyak 45.39 peratus dari jumlah kemalangan maut.

Liow turut ditanya tentang mewajibkan pemasangan ABS pada motosikal dan beliau berkata ia mungkin dilakukan dalam masa akan datang.

“Kita buat satu persatu dahulu - ESC dalam tahun 2018, penggunaan kerusi bayi/kanak-kanak wajib dalam tahun 2019 dan lain-lain lagi,” ujar Menteri tersebut.

Asean NCAP telah memasukan pelbagai Teknologi Bantuan Keselamatan untuk kenderaan dalam pelan tindakan mereka untuk tahun 2017-2020. Antaranya ialah:

  • Mewajibkan semua kenderaan penumpang baharu datang dengan ESC dan ABS (jika ada ESC, pasti ada ABS).
  • Memperkenalkan sistem AEB (Automated Emergency Braking atau brek kecemasan secara automatik)
  • Mempromosi teknologi “lane departure” di mana kenderaan akan memberi amaran jika ia melencong keluar dari laluan.
  • Mewajibkan amaran pemakaian tali-pinggang keledar untuk semua penumpang di dalam kenderaan
  • Memperkenalkan sistem amaran perlanggaran hadapan atau Forward Collision Warning
  • Setiausaha Agung Asean NCAP, Khairil Anwar Abu Kassim berkata SAT akan menyumbang sebanyak 25 peratus markah keseluruhan kenderaan dalam ujian mereka dalam masa empat tahun nanti.

Buat masa sekarang, kenderaan-kenderaan nasional yang dilancarkan sudah mempunyai pilihan ESC. Proton Persona dan Saga serta Perodua Bezza kesemuanya mempunyai pilihan ESC.  

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Selepas Mercedes-Benz memperkenalkan ciri brek anti-kunci, tahun 1983 para jurutera Bosch bula…