E.S. Yang Motor buka pusat 4S baharu Toyota di Muar

oleh Mohamad Hanif|
E.S Yang Motor Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pembukaan pusat pameran Toyota bertaraf 4S yang mampu menggabungkan tiga outletnya menjadi sebuah premis tunggal yang serba baharu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan pembukaan ini, E.S. Yang Motor kini mampu menawarkan perkhidmatan jualan, servis selepas jualan, serta perkhidmatan badan dan cat di bawah satu bumbung.

E.S. Yang Motor bermula sebagai sebuah pengedar Toyota yang sah pada tahun 1993 dengan pembukaan pusat pameran di Muar, namun menyedari pertumbuhan positif terhadap pelanggan Toyota di kawasan tersebut, syarikat itu kemudian melabur pada tahun 1994 menjadi sebuah pusat 3S yang menawarkan jualan, servis dan alat ganti.

Pada tahun 2012, syarikat membuat pelaburan tambahan dengan menubuhkan Pusat Badan & Cat (B&P). Kemudahan ini penting bagi pelanggan untuk memastikan bahawa ketika mereka memerlukan kerja pembaikan setelah kemalangan atau memperbaiki cat, standard tertinggi Toyota akan diterapkan kerana pusat B&P harus mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Toyota Motor Corporation.

 


Pusat pameran 4S baharu ini kini dikendalikan oleh 66 orang staf di dalam bidang jualan dan servis.

Ruangan servis kini mampu menempatkan 12 ruang dan boleh mengendalikan sehingga 33 buah kenderaan dalam masa sehari.

Selain daripada itu, terdapat ruang menunggu disediakan buat para pelanggan dengan kemudahan percuma seperti makanan dan minuman, sambungan Wi-Fi dan siaran TV.

E.S Yang Motor terletak di 333, Jalan Dato Haji Kosai, dan dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang dan boleh dihubungi di talian 06 - 952 8333 (bahagian Jualan) dan 06 - 955 6333 (bahagian Servis).