Satu contoh menarik yang wujud daripada katalog Brabus adalah EQS yang dikatakan jauh lebih menarik berbanding model standard kilang.
Apa yang menarik, Brabus berjaya menawarkan penambahan jarak operasi yang lebih jauh tanpa melibatkan talaan peningkatan kuasa kepada sistem trenkuasa asal EQS.
Menurut Brabus, EQS sudah pun mempunyai sistem aerodinamik terbaik di dunia, dengan kadar pekali seretan 0.20, dan jarak gerak sejauh 729 km mengikut data WLTP.
Apa yang dilakukan oleh Brabus pada EQS ini adalah menaiktaraf sistem suspensi, dengan merendahkan suspensi udara asal EQS sebanyak 15 mm di depan dan 20 mm di belakang, dipadankan dengan kit aero kustom seperti:
- spoiler depan gentian karbon
- trim karbon pada liang kemasukan udara sisi
- spoiler trunk gentian karbon
- diffuser gentian karbon
Dengan modifikasi ringan tersebut, kadar pekali seretan EQS telah berkurangan 7.2 peratus berbanding angka asal, dan bermakna ia mampu menambah jarak operasi tujuh peratus (atau 50 km) lebih jauh berdasarkan pemanduan yang dibuat pada julat kelajuan 100-140 km/j.
Malah, Brabus EQS juga dikatakan mampu menawarkan pemanduan yang lebih baik di selekoh dengan sistem suspensi yang telah ditala itu, dibantu dengan penggunaan tayar yang lebih baik.
Untuk mereka yang mahukan gaya, Brabus turut menyediakan pilihan rim monoblock bermula dari saiz 20 hingga 22 inci, logo Brabus, serta pilihan penyesuaian yang pelbagai.
Mengikut spesifikasi, Mercedes-Benz EQS 450+ didatangkan dengan motor elektrik tunggal menghasilkan kuasa setinggi 329 hp dan 568 Nm, serta pek bateri 107.8 kWh yang menyokong pengecasan 200 kW.
Baca: Mercedes-Benz EQS
Baca: Mercedes-AMG EQS