EQ fortwo coupé Racing Green Edition dalam pakej BRABUS!

oleh Muhammad Md Tajudin|
smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition dengan pakej BRABUS
smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition dengan pakej BRABUS
Di dalam banyak jenama automotif yang kami tampilkan, syarikat kereta smart di antara syarikat yang jarang diberitakan.

Kali terakhir smart benar-benar mendapat perhatian pada tahun 2019 apabila Daimler mengumumkan kerjasama dengan Geely bagi membina kilang di China yang akan mengeluarkan model baharu smart.

Dari segi pemilikan, setakat berita ini ditulis smart masih lagi di di bawah kumpulan Daimler AG. Pada awal 2020 dahulu pernah diumumkan Geely akan memegang 50 peratus saham di dalam syarikat.

Kita tinggalkan dahulu rancangan tersebut namun apa yang pasti ialah kereta buatan smart comel-comel belaka.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition BRABUS

Satu lagi perkara menarik ialah walaupun smart tidak lagi dijual secara rasmi di pasaran tempatan, anda sebenarnya boleh memilikinya dari pengimport bebas.

Cuma harga mencecah enam angka! Apa lagi berita terbaru? Model comel smart EQ fortwo bertambah comel dan ranggi.

smart baru baharu sahaja mengumumkan penawaran EQ fortwo coupé Racing Green Edition yang didatangkan bersama pakej BRABUS.

smart bukan baharu dengan BRABUS, semasa model fortwo sebelum ini pun pengguna sudah boleh memiliki dua jenama itu termasuk di negara kita.

Apa yang menarik perhatian tentang model terbaru ini ialah warna Racing Green yang menyerlahkan lagi auranya.

 

smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition BRABUS

Warna Racing Green ini mempunyai persona sendiri, ia tidak menarik perhatian buat pertama kali tetapi selepas beberapa ketika barulah ianya memikat.

Di antara ciri istimewa edisi baharu ini ialah lampu utama LED, roda aloi BRABUS Monoblock XI 16 inci hitam dengan kemasan perak, bumbung kaca panoramik.

Pada bahagian dalam, edisi ini didatangkan dengan kerusi kulit jahitan tangan dari BRABUS.

Kerusi itu dibalut dengan kulit Cognac Nappa dan sulaman bentuk berlian pada perehat belakang dan dudukan.

Satu lagi perincian menarik terletak pada sulaman berwarna Racing Green dan ia benar-benar satu kerja halus.

 

smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition BRABUS

 

Papan pemuka dan panel tengah pintu turut dibalut kulit Cognac Nappa dan sulaman Racing Green termasuk stereng sport EQ fortwo.

Beberapa lagi ciri istimewa ialah pedal sport aluminium, tuas brek tangan, tombol dan pelapik ambang pintu dari BRABUS.

Bahagian dalam dimeriahkan lagi dengan kemasan ala gentian karbon pada konsol tengah. Selain itu mata tidak boleh lari dengan skrin sentuh lapan inci yang mendominasi papan pemuka.

Mengenai nadi kuasa pula, smart sudah jauh ke hadapan. Model smart EQ ini digerakkan motor elektrik berkuasa 82 hp yang memacu roda belakang melalui kotak gear kelajuan tunggal.

 

smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition BRABUS

 

Model ini boleh dipandu sekitar 112 km dan jarak itu sememangnya singkat tetapi sudah memadai untuk ulang alik ke tempat kerja, membeli barangan harian atau sekolah anak.

Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik setakat 130 km/j.

Untuk pengecasan, bateri lithium-ion dengan 96 sel didatangkan bersama pengecas on-board berkapasiti 22 kW.

Ini bemakna pemilik hanya memerlukan kurang daripada 40 minit untuk mengecas dari 10 peratus hingga 80 peratus kuasa menggunakan pengecas pantas. 

 

smart EQ fortwo coupé Racing Green Edition BRABUS

 

Di rumah pula masa yang diperlukan ialah kurang daripada enam jam menggunakan pengecas biasa.

Berapakah harga si comel dan ranggi ini? Di United Kingdom ia bermula dari £25,495 (RM148,556) termasuk geran kereta Plug-in berjumlah £2,500 (RM14,567) dari kerajaan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin