Bersempena dengan ulang tahun kejayaan yang ke-30, MZ Racing menawarkan model enjin rotari R26B berskala 1:6 'spesifikasi perlumbaan' yang boleh didapati pada harga bermula ¥179,300 (RM6,528).
Sebagai makluman, syarikat itu sebelum ini turut menawarkan model yang serupa pada tahun 2018 dengan penghasilan 100 unit terhad.
Untuk versi terbaharu, pihak MZ Racing telah menambah beberapa ciri seperti manifold ekzos dan peredam, namun masih lagi mengekalkan ciri binaan menggunakan tangan dengan bantuan daripada Kusaka Engineering dan Mazda.
Dari segi dimensi, enjin berskala 1:6 ini memiliki ukuran 400 mm panjang, lebar 230 mm dan tinggi 140 mm, di mana ia memiliki berat sekitar 3 kg dengan menggunakan bahan resin dan logam putih.
Setiap pembelian turut disekalikan dengan bekas akrilik, logo sambutan ulang tahun ke-30, plet spesifikasi 787B, panel spesifikasi enjin R26B serta mesej khas daripada pengarah pasukan Le Mans Mazda, Takayoshi Ohashi.
Untuk mendapatkan model enjin R26B ini, anda boleh menempah terus menerusi laman web MZ Racing sehingga 10 Disember ini, dan penghantaran kumpulan pertama akan dibuat pada November ini.
Sumber: MZ Racing