Enjin inline-6 generasi terakhir enjin pembakaran dalaman Mazda

oleh Mohamad Hanif|
Tatkala pengeluar lain sudah pun mula menghentikan penawaran nadi diesel di benua Eropah, Mazda dengan beraninya memperkenalkan enjin baharu dengan konfigurasi enam silinder sebaris dengan suapan bahan api petrol dan diesel.

Akan tetapi, enjin enam silinder sebaris ini dikatakan bakal menjadi penamat bagi segalanya, sebelum Mazda 'berhijrah' menjadi pengeluar kenderaan elektrik pada masa akan datang.

Bercakap kepada Automotive News Europe, ketua unit pembangunan produk Mazda Eropah Joachim Kunz berkata, "Ini mungkin sekali generasi terakhir enjin pembakaran dalaman, jadi kami harus bersedia untuk mencapai sasaran yang paling sukar, dan menyelaraskannya menggunakan solusi after-treatment.
 

Mazda


Ini bermakna, Mazda bakal melakukan perkara yang sewajarnya terhadap nadi tersebut bagi membolehkannya memenuhi regulasi emisi yang ketat.

Mazda turut yakin enjin diesel enam silinder sebaris itu mampu memenuhi piawaian Euro 7 meskipun perinciannya masih lagi belum dimuktamadkan oleh Kesatuan Eropah.

Kebanyakan pengeluar sudah pun melahirkan rasa bimbang di mana peraturan emisi Euro 7 mampu menjadikan kenderaan ICE menjadi lebih mahal disebabkan kos yang diperlukan untuk menjadikan enjin yang lebih bersih.
 

Mazda


Namun begitu, Mazda tetap yakin ruang untuk enjin pembakaran dalam masih lagi wujud, dan disebabkan itu mereka tampil dengan enjin bersesaran besar - 3.3 liter untuk versi diesel.

"Dengan enjin 3.3 liter, ia membawa maksud kami mahu berada di sisi yang selamat untuk aspek daya kilas dan kuasa," jelas Kunz.

Ini kerana, kebanyakan pengeluar menurunkan kuasa dan daya kilas demi mematuhi piawaian emisi, namun dengan unit enjin 3.3 liter ini membolehkan Mazda menawarkan kuasa output yang mencukupi dan dalam masa yang sama memenuhi piawaian Euro 7.

Baca: Mazda CX-60 2022 dengan enjin diesel enam silinder sebaris

Seperti yang pernah Careta siarkan sebelum ini, Mazda telah pun mendedahkan spesifikasi nadi Skyactiv-D versi enjin enam silinder sebaris untuk Mazda CX-60.

Enjin diesel 3.3 liter tersebut mampu menghasilkan kuasa setinggi 228 hp dan daya kilas 500 Nm, sementara versi hibrid ringan e-Skyactiv-D pula berupaya menjana kuasa setinggi 251 hp dan 550 Nm.

Sumber: Automotive News Europe

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari Benedetto Vigna yakin bahawa Ferrari boleh terus menjual kereta…
Berita Global
Menurut berita Reuters, Jerman dilapor telah membentuk satu pakatan berasingan bersama-sama negara…
Berita Global
Bahan api yang dimaksudkan itu merupakan SUSTAIN 100 Percent yang dihasilkan oleh Coryton daripada…