Dari situ lagi lahirlah teknologi regeneratif yang turut membekalkan tenaga kepada kereta hibrid dan elektrik.
Ada satu lagi komponen yang tidak patut dibazirkan untuk satu fungsi sahaja iaitu tayar. Alang-alang dah bergolek biar bermanfaat. Sumitomi Rubber Industries yang memiliki syarikat tayar Falken sekarang ini sedang membangunkan tayar yang boleh menghasilkan tenaga elektrik.
Sumitomo dan Profesor Hiroshi Tani dari Universiti Kansai menghasilkan satu teknologi yang diberi nama Energy Harvester dengan menggunakan pengumpulan elektrik statik atau pengecasan geseran (frictional charging).
Konsepnya mudah, sambil bergolek sambil hasilkan tenaga.
Energy Harvester berbentuk empat segi dan didalamnya terdapat dua lapis getah dengan setiap satunya mengandungi elektrod dan masing-masing dengan filem pengecasan negatif atau positif. Apabila dipasangkan di dalam tayar, Energy Harvester tersebut menghasilkan tenaga elektrik apabila tayar berputar.
Jurutera yang menghasilkan Energy Harvester mengatakan tenaga tersebut boleh digunakan sebagai punca kuasa untuk sensor di dalam Tyre Pressure Monitoring Systems (TPMS) dan pelbagai perkakasan lain tanpa perlu menggunakan bateri.
Teknologi ini dibangunkan di bawah program penyelidikan dan pembangunan (P&P) Sumitomo untuk menambah baik aspek keselamatan dan alam sekitar. Program ini turut mendapat sokongan daripada Agensi Sains dan Teknologi Jepun.
Penulis: Muhammad Md Tajudin