ENAM tahap pemanduan autonomi yang perlu anda tahu!

oleh Mohamad Hanif|
Sebelum wujudnya istilah sistem pemanduan autonomi (swapandu), teknologi kereta pandu sendiri ini telah pun wujud tanpa disedari menerusi pelbagai jenis cerita fiksyen, seperti contoh Knight Rider, Transformers, The Love Bug dan macam-macam lagi.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Dalam masyarakat kita sendiri pun, ciri pemanduan sendiri ini sebenarnya telah pun wujud menerusi kisah-kisah seram melibatkan Volkswagen Beetle berwarna kuning di Lebuhraya Karak yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Kembali semula kepada topik asal, mengikut sistem klasifikasi J3016_201609 yang dikeluarkan oleh Society of Automotive Engineers (SAE) International, terdapat enam jenis pemanduan autonomi yang disusun berdasarkan intervensi pemandu dan tumpuan yang diperlukan, berbanding keupayaan kenderaan itu sendiri.

Tahap pemanduan autonomi yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

 

Tahap Sifar (Level 0)


Pada tahap ini, tiada sebarang kebolehan swapandu ditawarkan, walaupun kereta anda dilengkapi dengan kawalan jelajah konvensional (Cruise Control).

Sistem keselamatan yang dimuatkan seperti brek kecemasan automatik (AEB), amaran titik buta (BSM) dan amaran keluar laluan (LDW) hanya sekadar memberikan amaran, akan tetapi ia tidak berupaya untuk mengawal arah kenderaan.

Kebanyakan kereta di Malaysia masih tergolong di dalam Tahap Sifar.
 

Tahap Satu (Level 1) - Tangan diperlukan


Ini merupakan tahap pertama automasi di mana kenderaan yang tergolong bawah kumpulan ini mempunyai ciri seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) yang bergantung kepada sistem kamera atau radar.

Sistem ini mampu untuk mengawal jarak serta kelajuan di bawah keadaan tertentu, namun masih lagi memerlukan pengawasan daripada pemandu supaya bersedia untuk mengambil alih kawalan ketika diperlukan.

Antara ciri lain termasuklah ciri bantuan kekal laluan (LKA) dan Parking Assistance.
 

Tahap Dua (Level 2) - Tangan tidak diperlukan

Perodua Ativa bakal tawar ciri pemanduan autonomi Tahap Dua


Kebanyakan kenderaan moden kini sudah pun mula menawarkan automasi Tahap Dua, namun ia menjadi bualan ramai apabila pengeluar automotif tempatan mula menawarkan ciri pada model terbaharu mereka, seperti Proton X50 dan Perodua Ativa.

Kenderaan yang dikategorikan di bawah Tahap Dua memiliki lebih daripada satu sistem bantuan pemandu termaju (Advanced Driver Assistance System, ADAS) yang mampu mengawal sistem brek, stereng serta pendikit kenderaan.

Antara contoh ciri keselamatan yang wujud seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Brek Kecemasan Automatik, Bantuan Kekal Laluan Aktif atau Sistem Bantuan Parkir.

Walaupun diklasifikasikan sebagai tidak memerlukan tangan, tumpuan pemandu masih lagi diperlukan untuk mengendalikan kenderaan dengan sistem automasi Tahap Dua ini.

 

Tahap Tiga (Level 3) - Mata tidak diperlukan

Honda Legend menjadi yang pertama tawar sistem automasi Tahap Tiga


Sistem automasi Tahap Tiga merupakan sesuatu yang baharu dan jauh lebih canggih berbanding sistem automasi Tahap Satu dan Tahap Dua.

Ini kerana permulaan sistem autonomi ini membolehkan sistem pemanduan dikawal sepenuhnya, dan pemandu boleh 'mematikan' tumpuan mereka daripada tugas-tugas memandu dan mula membuat sesuatu yang lebih menarik, seperti melayari internet atau menonton filem.

Namun, mengikut klasifikasi SAE Level 3, pemandu masih lagi perlu bersedia untuk mengambil alih kawalan dalam tempoh masa yang ditetapkan sekiranya keadaan memerlukan.

Setakat ini, tiada sebarang kenderaan yang sudah pun dilengkapi dengan ciri automasi Tahap Tiga, melainkan Honda Legend yang dijadualkan memasuki fasa produksi menjelang akhir Mac 2021 ini.

Sistem tersebut dikenali sebagai "Traffic Jam Pilot" yang akan memantau keadaan trafik lebuh raya, seterusnya mengambil alih operasi pemanduan, mengikut kelajuan kenderaan di hadapan dan kekal di laluan tanpa sebarang input daripada pemandu.

Sistem tersebut hanya boleh diaktifkan pada kelajuan 50 km/j sahaja, dan apabila sistem mengenalpasti keadaan operasi yang tidak selamat, amaran akan dikeluarkan dan pemandu perlu segera mengambil alih operasi kereta.


Tahap Empat (Level 4) - Minda tidak diperlukan

Toyota Chaffeur dikatakan menawarkan sistem automasi Tahap Empat


Seperti sistem automasi Tahap Tiga, sistem automasi Tahap Empat (tahap automasi tinggi) juga tidak memerlukan tumpuan daripada pemandu, dan berupaya untuk melengkapkan sesebuah perjalanan tanpa memerlukan input daripada pemandu.

Ini bermakna, pemandu boleh membuat keputusan untuk tidur atau tidak duduk di hadapan stereng sepanjang perjalanan.
 
Dalam keadaan tertentu, pemandu masih lagi diperlukan untuk mengambil alih operasi, seperti contoh berada di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai liputan data.

Oleh sebab itu, kereta dengan sistem automasi Tahap Empat ini perlu mengekalkan kehadiran roda stereng fizikal dan pedal.

Pada ketika ini, tiada sebarang kenderaan produksi moden yang dilengkapi dengan sistem automasi Tahap Empat ditawarkan untuk pengguna.
 

Tahap Lima (Level 5) - Kawalan manual sebagai opsyen

Konsep oleh Bosch


Ini adalah sistem automasi penuh yang menjadi impian setiap pembangun kenderaan swapandu, di mana sistem kawalan manual seperti roda stereng, pedal dan tuil transmisi, malah pemandu juga tidak lagi diperlukan.

Segala operasi pemanduan akan dikendalikan oleh komputer, sistem kepintaran buatan (AI) dan segala sistem terhubung yang berkaitan dengan tujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan di atas jalan raya.

Input daripada manusia hanyalah diperlukan ketika menyeru kereta daripada sesebuah perkhidmatan dan menetapkan destinasi yang dituju.

Pada ketika ini juga, anda sudah boleh berhenti daripada menghadiri sekolah memandu semata-mata untuk mendapatkan lesen memandu, malah skim lesen terbang juga sudah boleh mencari kerja lain!

Melihatkan kepada kemajuan industri automotif masa kini, adalah tidak mustahil sistem automasi Tahap Tiga, Empat dan Lima akan diperlihatkan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengenalan teknologi ini adalah selari dengan garis panduan (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan…